KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Selepas enam tahun perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas Perdana Menteri itu membela diri atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana itu.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib, 71.
Berikut adalah kronologi kes:
20 September 2018 - Najib didakwa kali pertama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama di hadapan Hakim Azura Alwi.
27 September 2018 - Najib selesai membayar wang jaminan berjumlah RM3.5 juta yang diperintahkan oleh Mahkamah Sesyen.
31 Oktober 2018 - Kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
9 Januari 2019 - Najib memfailkan dua permohonan untuk mencabar pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes itu.
1 Mac 2019 - Najib gagal dalam permohonan itu selepas mahkamah mendapati tiada bukti Sri Ram akan berat sebelah dalam mengendalikan kes tersebut.
7 Mac 2019 - Najib memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan itu.
7 Mei 2019 - Najib gagal dalam rayuan berkenaan.
17 Jun 2019 - Mahkamah Persekutuan menetapkan 7 Ogos 2019 untuk mendengar rayuan Najib bagi menggugurkan Sri Ram.
28 Ogos 2019 - Hari pertama perbicaraan kes 1MDB dihadapi Najib di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.
2 April 2020 - Perbicaraan kes itu ditangguhkan kerana lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan.
4 Mei 2020 - Perbicaraan kes Najib dijadualkan bersambung 13 Mei 2020 dengan mematuhi garis panduan mahkamah terbuka ekoran wabak Covid-19.
5 Oktober 2020 - Perbicaraan kes dijadualkan bersambung semula pada 19 Oktober setelah Najib selesai menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu selepas pulang dari Sabah bagi kempen pilihan raya.
5 Januari 2021 - Perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi setelah hampir empat bulan ditangguhkan.
8 September 2021 - Mahkamah Rayuan memutuskan Sri Ram kekal mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.
14 Disember 2021 - Perbicaraan ditangguhkan kerana status MySejahtera Najib masih mengklasifikasikannya sebagai individu dalam perintah pengawasan dan pemerhatian (PUS) dan mahkamah menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menjalankan perbicaraan secara hibrid, dengan Najib serta peguamnya menyertai prosiding melalui persidangan video.
25 Ogos 2022 - Najib hadir perbicaraan di Mahkamah Tinggi buat kali pertama selepas dijatuhi hukuman bagi kes SRC International Sdn Bhd.
Najib dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC berjumlah RM42 juta.
29 Januari 2023 - Sri Ram yang mengendalikan kes itu meninggal dunia pada usia 79 tahun.
30 Januari 2023 - Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kes Najib berhubung kematian mengejut Sri Ram yang dianggap sebagai figura umpama seorang bapa kepada pasukan pendakwaan kes 1MDB.
18 Ogos 2023 - Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib untuk menggugurkan Hakim Sequerah daripada mendengar kes dihadapinya. Najib memfailkan permohonan itu disebabkan hubungan hakim itu dengan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.
6 November 2023 - Mahkamah Tinggi benar permohonan pihak pendakwaan untuk pinda tiga pertuduhan yang dihadapi Najib.
8 Januari 2024 - Najib mohon pihak pendakwaan mengambil tindakan terhadap dokumentari ‘Man on the Run’ yang ditayangkan dalam perkhidmatan penstriman Netflix atas alasan ia sangat subjudis dan menghina kesnya yang sedang berjalan.
30 Mei 2024 - Pendakwaan menutup kesnya selepas enam tahun, 235 hari perbicaraan dengan 50 orang saksi dipanggil memberi keterangan.
20 Ogos 2024 - Najib tarik balik rayuan untuk menggugurkan Hakim Sequerah daripada mendengar kesnya.
3 Oktober 2024 - Hakim Sequerah menetapkan 30 Oktober untuk menyampaikan keputusan sama ada Najib perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan.
24 Oktober 2024 - Najib menerusi anak lelakinya, Datuk Mohamad Nizar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia berhubung kepincangan yang berlaku dalam 1MDB ketika menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. - Bernama