'Jangan anggap bila pujuk isteri, kita kalah' - Yusof Haslam

Iklan
Yusof dan Patimah sudah 41 tahun melayari bahtera rumah tangga.

MASIH berjaya mengemudi rumah tangga lebih empat dekad, penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam mengakui tidak terlepas melalui gelora dalam perkahwinan.

Namun berpegang teguh kepada nasihat arwah ibunya, Yusof berkata, beliau memastikan akan memujuk isterinya, Datin Fatimah Ismail setiap kali berlaku pergeseran antara mereka.

Iklan
Iklan

Ujarnya, tidak ada rumah tangga yang tenang tanpa krisis, tetapi suami sebagai ketua rumah tangga harus tahu memainkan peranan.

"Saya bukan sempurna, bagi saya dalam setiap rumah tangga perlukan kesabaran, tolak ansur dan pujuk-memujuk penting bagi saya.

Iklan
Yusof mendedahkan mengambil masa sebulan bagi mempertimbangkan tawaran sebagai dukun.

"Sebagai lelaki, jangan anggap bila pujuk isteri, kita kalah. Itu silap. Sehingga kini saya masih pegang petua dan nasihat daripada arwah ibu saya iaitu setiap kali isteri merajuk atau ada salah faham, mesti ambil hati isteri, kalau isteri merajuk, pujuk.

"Arwah ayah saya juga begitu, jika ada salah faham, beliau akan cepat pujuk. Itu yang saya amalkan, alhamdulillah rumah tangga saya sudah masuk tahun ke-41," jelasnya.

Iklan

Yusof berkata demikian ketika ditemui pada malam gala filem Don Dukun di GSC Midvalley, Kuala Lumpur pada Selasa.

Yusof turut menasihati setiap pasangan untuk merendahkan ego masing-masing sekiranya berdepan masalah.

Yusof menjayakan watak bapa kepada Don Ariff lakonan Zul Ariffin.

Katanya, pujukan itu tidak semestinya berserta hadiah atau bunga, tetapi apa yang penting adalah tolak ansur.

"Ini nasihat saya kepada semua pasangan, termasuk anak-anak saya. Kalau ada masalah, cari jalan terbaik, jalan pendamaian.

"Buang ego sebab jika masih ego, masalah tidak akan selesai. Kalau isteri merajuk, suami pujuk tetapi isteri pun janganlah ego atau buat keras sahaja, perlu ada tolak ansur.

"Selalu saya pujuk dengan kata-kata sahaja, tak reti beri bunga. Sesekali beri hadiah ketika hari jadi. Kalau beri bunga, tetapi masalah masih sama tidak guna juga.

"Saya kongsi nasihat ini bukan sebab saya sempurna atau perlu jadikan saya contoh. Ini nasihat sebagai orang tua yang sudah lalui proses perkahwinan," ujarnya.

Dalam masa sama, bapa kepada pengarah dan pelakon sensasi, Syamsul itu turut mengakui terkejut dengan berita penceraian selebriti yang dilaporkan akhir-akhir ini.

Katanya, walaupun sedih, beliau termasuk warga maya tidak ada hak untuk menilai kerana hanya pasangan itu tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka.

"Saya terkejut juga bila baca Diana Danielle mahu failkan penceraian. Ketika mereka rujuk tahun lalu, saya antara yang gembira kerana itulah yang kita mahu.

"Walaupun sedih, tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka kerana kita lihat secara rambang," katanya.

Berlakon filem

Dalam pada itu, berkongsi penglibatannya dalam filem terbaharu terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Infinitus Productions dan GSC, Don Dukun, Yusof memberitahu mengambil masa sebulan untuk mempertimbangkan tawaran sebagai dukun bernama Pak Samad.

Bukan itu sahaja, Yusof mengakui agak ragu-ragu biarpun filem tersebut menggabung tiga dukun berlainan bangsa sebagai latar penceritaan.

"Pada awalnya Datin lebih suka kalau saya duduk rehat di rumah, tetapi saya sejenis tidak boleh duduk diam. Jadi saya setuju dengan tawaran Gaya (penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai) untuk membintangi filem ini.

"Bila sudah tonton keseluruhan cerita, saya lihat ada kelainan dan transisi masa dari satu babak ke babak seterusnya tidak meleret.

"Saya harap filem ini akan mendapat sambutan, sebab akhir-akhir ini saya lihat sambutan masyarakat ke pawagam agak lesu," ujarnya.

Tambah Yusof, dia bersedia mempertimbangkan tawaran lain selepas ini tetapi tidak mahu menjayakan watak sama.

"Selepas saya terlibat dengan penggambaran Don Dukun, ada dua lagi tawaran yang mahu saya jadi dukun dan saya tolak.

"Saya tidak mahu jadi pelakon yang streotaip, kalau ada tawaran bersesuaian dan berbeza, saya sedia mempertimbangkan," katanya lagi.