TUMPAT - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menyerbu sebuah rumah dan merampas 200 kilogram beras serta beras pulut yang dipercayai diseludup dari Thailand di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini pada Selasa.
Rampasan yang dilakukan pada jam 11.45 pagi itu turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 55 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup beras terbabit ke pasaran tempatan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil maklumat semasa penugasan Op Taring Wawasan, PGA telah melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan dan menemukan beras serta beras pulut bernilai RM1,050 di dalam trak pikap jenis Isuzu Dmax.
"Kesemua barangan rampasan terbabit didapati tidak mempunyai dokumen sah.
"Anggaran nilai keseluruhan rampasan tersebut termasuk kenderaan ialah RM51,050," katanya pada Rabu.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.
Ujarnya, suspek dan barang rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.