SENIWATI tanah air, Datuk Rosnani Jamil melahirkan kekecewaan kerana masih ada segelintir penerbit memberikan bayaran tidak setimpal kepada artis veteran yang menerima tawaran berlakon dalam karya mereka.
Malah kata pelakon berusia 88 tahun itu, beliau sendiri pernah mengalami situasi tersebut.
"Mak masih ada terima panggilan tawaran berlakon (walaupun telah bersara pada 2016). Tetapi, bayangkan mereka cuma nak bayar saya RM1,000 untuk satu babak.
"Ada juga program besar panggil mak untuk bercakap tentang seorang yang ternama dalam industri kita, kemudian program itu dijual, bukan kepada RTM (Radio Televisyen Malaysia) atau TV3... kalau untuk RTM atau TV3 tak dibayar pun mak tak kisah, tapi ini bisnes (dan) mereka tawar RM500 saja. Maaflah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran buku autobiografinya versi Bahasa Inggeris, berjudul From Sungai Geringging to the City of London: An Intimate Potrait of a Movie Star di sini pada Selasa.
Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak menghormati artis veteran, seniwati yang lebih mesra dengan panggilan Mak Nani ini berkata, beliau membangkitkan isu tersebut bukan untuk kepentingan dirinya, tetapi bagi membela nasib artis veteran lain, terutama yang hidup susah.
"Pelakon veteran lain, disebabkan mereka hidup susah, maka terpaksa terima saja tawaran itu. Ada yang sehari hanya dibayar RM60, RM70, tetapi artis popular dibayar berpuluh ribu ringgit.
"Penerbit atau pengarah, mereka ini tidak hargai pelakon tambahan melibatkan artis veteran (sedangkan) pelakon tambahan, walaupun hanya satu babak, amat penting kerana tanpa mereka cerita (yang dilakonkan) tak jadi,” tegas beliau
Tambah beliau lagi, bayaran setimpal itu juga sebagai cerminan penghargaan terhadap pengalaman dan kemampuan yang dimiliki oleh pelakon veteran berbanding artis baharu.
Sementara itu, mengulas autobiografinya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Mariam Ash'ari Becker, beliau berharap langkah tersebut akan memberi peluang kepada lebih ramai ahli masyarakat untuk membacanya.
Rosnani berkata, buku itu berkisar tentang ranjau perjalanan hidup beliau yang merantau dari Sungai Geringging, Sumatera Barat, Indonesia ke Singapura sehingga berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London.
Versi asal dalam Bahasa Malaysia diterbitkan pada 2019. - Bernama