PIC gerak pasukan bersihkan Pantai Esen

Iklan
Pekerja Silicon Island Development sedang membersihkan permukaan pantai Pantai Esen yang dipercayai dipenuhi objek dipercayai alga.

GEORGE TOWN - Penang Infrastructure Corporation Sdn Bhd (PIC) mengambil inisiatif untuk menggerakkan satu pasukan bagi membersihkan permukaan pantai yang dipenuhi objek dipercayai alga di Pantai Esen, Batu Maung di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PIC, Datuk Seri Farizan Darus berkata, pihaknya mengambil maklum akan kebimbangan komuniti berhubung bahan seakan lumpur yang dikesan di Pantai Esen.

Iklan
Iklan
Difahamkan, PIC melalui pemaju projek Silicon Island Development Sdn Bhd telah menjalankan lima kali pembersihan pantai iaitu tiga kali di Pantai Teluk Bayu dan dua kali di Pantai Esen.

Sehubungan itu katanya, PIC melalui pemaju projek Silicon Island Development Sdn Bhd telah mengambil inisiatif sendiri dengan menggerakkan pasukan yang terdiri daripada 10 pekerja terlibat dalam kerja pembersihan tersebut.

"Sebagai jiran korporat yang bertanggungjawab dan dalam usaha untuk mengekalkan kawasan pelancongan penting ini, satu pasukan telah digerakkan untuk menjalankan kerja pembersihan permukaan pantai pada Sabtu lalu.

Iklan

"Kerja-kerja pembersihan secara manual ini bermula pada jam 9 pagi, selama lebih 5 jam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pekerja yang bertugas telah mengumpulkan kira-kira 20 beg objek dipercayai alga dan lumpur.

Iklan
Pekerja yang bertugas telah mengumpulkan kita-kira 20 beg objek dipercayai lumpur dan alga.

"Usaha pemulihan ini adalah sebahagian daripada komitmen kami kepada komuniti setempat sebagai jiran komuniti dalam menjaga kelestarian alam sekitar di Pantai Esen.

"Walaupun pembersihan ini merupakan langkah reaktif, PIC juga bekerjasama rapat dengan pakar alam sekitar yang sedang menjalankan penyelidikan menyeluruh untuk mengenal pasti punca utama fenomena ini," katanya lagi.

Tambah beliau, hasil penyelidikan itu nanti dijangka dapat menghasilkan penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan dan menguruskan kemungkinan berulangnya fenomena tersebut di Pantai Esen.

Kerja pembersihan permukaan pantai di Pantai Esen dilakukan pada Sabtu lalu.

"Selepas pembersihan ini, kami akan terus memantau kawasan tersebut untuk menilai sekiranya bahan seakan lumpur ini berulang.

"Pemerhatian ini akan menyumbang kepada penemuan yang disediakan kepada profesional yang dilantik untuk membantu menyelesaikan isu ini secara menyeluruh," katanya.

Difahamkan, PIC melalui pemaju projek Silicon Island Development Sdn Bhd telah menjalankan lima kali pembersihan pantai iaitu tiga kali di Pantai Teluk Bayu dan dua kali di Pantai Esen.

Kerja pembersihan bermula pada jam 9 pagi, Sabtu lalu dan mengambil masa lebih lima jam.

Sebelum ini, Pantai Esen yang terletak di Permatang Damar Laut, Batu Maung dilaporkan mengalami pencemaran yang teruk apabila dipenuhi dengan selut tebal selain berbau busuk.

Tempat peranginan tersebut yang dahulunya terkenal dengan keindahan pantainya yang cantik dan bersih selain pemandangan matahari terbenam yang sangat cantik, kini diibaratkan 'pantai hantu' kerana tiada pengunjung berikutan air lautnya kotor dan tercemar.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, selut tebal telah memenuhi pesisiran pantai menyebabkan air laut menjadi kotor dan berbau busuk.

Menurut penduduk di kawasan tersebut, keadaan selut tebal berwarna hitam itu dipercayai berpunca daripada kerja tambakan untuk Projek Pulau Silikon yang dijalankan di kawasan tersebut.

Tambah mereka, sebelum projek tambakan itu dijalankan, air laut akan naik sehingga ke daratan sekiranya musim air pasang besar namun kini, ia seperti tersekat.