Tukar pegawai kerajaan bahagian kritikal setiap tiga tahun

Iklan
Wan Ahmad Dahlan (kiri) melawat pameran sempena majlis perjumpaan bersama pegawai awam persekutuan negeri Terengganu di Kuala Nerus pada Rabu.

KUALA NERUS - Pertukaran pegawai kerajaan melibatkan jawatan penting dalam sesebuah organisasi kritikal atau yang mudah terdedah kepada perlakuan integriti dibuat setiap tiga tahun sekali.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, ia melibatkan jawatan-jawatan tertentu antaranya bahagian perolehan, kewangan atau pembangunan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain mengelak penglibatan dalam kesalahan membabitkan integriti, ia bertujuan menggilap kemajuan diri seseorang kakitangan awam sepanjang tempoh perkhidmatan.

"Pekeliling mengenai penempatan yang menyatakan bahawa seseorang pegawai tidak boleh berada di sesebuah organisasi itu melebihi lapan tahun adalah untuk kemajuan kerjaya mereka.

Iklan

"Kita tak boleh lama di situ dan boleh tukarkan atau pindah ke tempat lain,"katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama pegawai awam persekutuan negeri Terengganu di sini, pada Rabu.

Katanya, penukaran pegawai kerajaan bukan disebabkan alasan-alasan kecil, sebaliknya bertujuan untuk membantu mereka dari segi kemajuan dalam kerjaya.

Iklan

"Proses pertukaran akan memberi pendedahan kepada perkara berlainan dalam karier dia, agar apabila ada kenaikan pangkat, ia akan mudah dipertimbangkan nanti," ujar beliau.

Wan Ahmad Dahlan (tengah) merakam gambar bersama ketika mengadakan perjumpaan bersama pegawai awam persekutuan negeri Terengganu di Kuala Nerus pada Rabu.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, katanya, semua kakitangan awam seluruh negara dijangka akan menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kerana ia merupakan sistem saraan terbaik ditawarkan kerajaan Malaysia.

Jelasnya, beliau yakin semua penjawat awam akan berbuat demikian sebelum tempoh menandatangani opsyen tersebut berakhir pada 30 November depan.

"Buat masa ini, seluruh kementerian, jabatan dan agensi sedang melaksanakan proses tersebut.

"Kita di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yakin semua kakitangan akan menandatangani opsyen SSPA tersebut kerana ia adalah sistem saraan yang pertama pernah kita adakan di Malaysia.

"Bagaimanapun, setakat ini, kita belum ada lagi jumlah sebenar kakitangan awam yang telah menandatangani opsyen tersebut kerana ia baru sahaja bermula pada 21 Oktober lalu," katanya.

Tawaran menandatangani opsyen SSPA terbuka kepada semua pegawai awam bertaraf tetap bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Januari 2026 bagi Fasa 2.