SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan tanda sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes melibatkan penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut Ahmad Zahid, sokongannya kepada Najib tidak mempunyai sebarang niat untuk mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membuat dapatan prima facie seterusnya memanggil untuk membela diri bekas pemimpin itu.
"Dengan rasa penuh penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang. Keputusan ini bukanlah satu pengesahan bahawa beliau telah terbukti bersalah.
"Tetapi ia adalah ruang dan peluang Najib untuk membela diri serta membuktikan dirinya tidak bersalah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sebelum ini, prosiding bela diri Najib atas empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama, ditetapkan berlangsung selama 97 hari bermula 2 Disember ini.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh bicara tersebut sehingga akhir tahun 2025, selepas mengarahkan bekas Perdana Menteri terbabit membela diri atas 25 kes berkenaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan, beliau mewakili UMNO, Barisan Nasional (BN) dan seorang sahabat, yakin Najib berada di pihak yang benar.
"Kami akan terus memberikan sokongan untuk memastikan beliau mendapat keadilan.
"Kami juga akan sentiasa mendoakan agar pelaku sebenar di sebalik penyelewengan 1MDB dibawa ke muka pengadilan dan mudah-mudahan Najib diberikan keadilan sewajarnya,” ujarnya.