Wanita rugi hampir setengah juta diperdaya 'phone scam'

Iklan
Mangsa berusia 51 tahun melakukan transaksi bayaran berjumlah RM492,290 itu selepas diperdaya sindiket penipuan 'phone scam' menyamar pegawai Kementerian Komunikasi dan polis. Gambar hiasan (Gambar kecil: Yahaya)

KUANTAN - Seorang wanita terpaksa meminjam wang daripada rakan selain menggunakan wang simpanan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai bayaran mengelak ditangkap pihak berkuasa selepas dikaitkan dengan kes pengubahan wang haram.

Mangsa berusia 51 tahun melakukan transaksi bayaran berjumlah RM492,290 itu selepas diperdaya sindiket penipuan 'phone scam' menyamar pegawai Kementerian Komunikasi dan polis.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian malang menimpa mangsa bermula selepas dia menerima panggilan telefon daripada suspek menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi, April lalu.

Menurutnya, melalui panggilan itu, mangsa dimaklumkan dia dikehendaki kerana disyaki terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.

Iklan

"Seperti biasa, panggilan disambungkan kepada 'pegawai polis' untuk tindakan selanjutnya," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Yahaya berkata, mangsa telah diarah membuat pemindahan wang bagi mengelak ditangkap selain untuk membersihkan mangsa daripada rekod jenayah.

Iklan

"Mangsa terpedaya perangkap sindiket penipuan itu apabila akur dengan arahan suspek sehingga melakukan transaksi bayaran berjumlah

RM 492,290 melalui lima akaun bank berasingan dalam tempoh 1 Mei hingga 27 September lalu.

"Wanita itu syak dia telah ditipu selepas suspek gagal mengembalikan semula wangnya lalu tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Kuantan," ujarnya.

Sementara itu katanya, orang ramai dinasihatkan agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan sekiranya menerima panggilan meragukan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

"Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," ujarnya.