Malaysia kini sedang berada dalam fasa transformasi penting untuk memastikan sekuriti makanan yang mampan terutamanya sektor penternakan ayam bagi generasi akan datang.
Rancangan Malaysia Ke-12 menekankan kepentingan penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti.
Menurut laporan Akaun Pembekalan dan Penggunaan bagi Komoditi Pertanian Terpilih, pada tahun 2023, penggunaan per kapita daging ayam negara ialah sebanyak 49.3 kilogram (kg) setahun.
Namun, kadar sara diri (SSR) bagi ayam daging menunjukkan penurunan ketara dari 100.2 peratus pada tahun 2021 kepada 90.2 peratus pada tahun 2023.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Zahid Ismail berkata, penurunan kadar SSR itu menunjukkan perlunya tindakan segera untuk meningkatkan produktiviti serta keberkesanan sektor penternakan ayam.
"Salah satu faktor penyebab utama ialah banyak ladang ayam di Malaysia masih menggunakan kaedah ladang terbuka.
"Sistem ini menjadikan ternakan lebih terdedah kepada cuaca ekstrem, penyakit dan seterusnya menyebabkan produktiviti ladang yang rendah,” jelas Zahid menerusi satu kenyataan.
Sebagai penyelesaian, peralihan ke pada ladang sistem tertutup dilihat sebagai langkah terbaik untuk mengurangkan risiko dan meningkatkan produktiviti, dan kecekapan pengurusan ladang.
Pada tahun 2022, satu projek rintis telah dilaksanakan di daerah Manjung yang mempercepatkan proses kelulusan penambahbaikan ladang dari tempoh 57 hingga 100 hari kepada kurang dari sebulan.
Pelaksanaan projek rintis ini adalah hasil kerjasama antara MPC melalui Nexus Produktiviti AgroMakanan, bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan an Kerajaan Tempatan dan PlanMalaysia.
Selain itu, projek ini juga mendapat kerjasama agensi-agensi dan jabatan Kerajaan Negeri Perak yang berkaitan, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung, Persekutuan PersatuanPersatuan Penternak Malaysia, serta pemain industri ternakan ayam di Perak.
Pencapaian ini menjadi penanda aras baru dalam usaha transformasi sektor penternakan di Malaysia.
Berpotensi Menurut Zahid, Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor penternakan tetapi untuk mencapai tahap produktiviti yang lebih tinggi kita perlu bertindak segera.
"Sistem ladang tertutup yang efi sien bukan sahaja menjamin sekuriti makanan negara, tetapi juga meningkatkan daya saing penternak kita di peringkat global,” katanya.
Namun begitu, penternak masih berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Beliau berkata, kos peralihan ke ladang sistem tertutup dianggarkan sekitar RM800,000 sehingga RM1.2 juta untuk setiap 20,000 ekor ayam yang merangkumi kos pembinaan, kos pematuhan, dan kos-kos lain yang berkaitan.
"Proses kelulusan yang mengambil masa yang lama sering kali melemahkan motivasi penternak untuk membuat perubahan walaupun mereka sedar akan faedah jangka panjangnya,” katanya.
Tambahan pula, tidak semua kawasan atau daerah menunjukkan komitmen yang sama dalam memudahkan proses ini.
"Ketidakseragaman amalan di peringkat Kerajaan Tempatan mengakibatkan kesukaran bagi penternak yang ingin beralih ke sistem moden ini,” tambah Zahid.
Sokongan kewangan dan teknikal
Dalam menghadapi cabaran ini, MPC mencadangkan supaya kerjasama strategik di antara pihak kerajaan diwujudkan bagi mengkaji semula proses kelulusan untuk dipercepatkan dan dipermudah kan, sekali gus menggalakkan lebih ramai penternak berubah ke sistem moden.
Menurut Zahid, sokongan kewangan dan teknikal juga perlu dipertingkatkan untuk membantu penternak melakukan peralihan ini dengan lebih lancar.
"Di samping bantuan kewangan, latihan teknikal mengenai penggunaan teknologi moden dalam penternakan perlu diberikan kepada penternak.
"Ini bertujuan memastikan teknologi yang diperkenalkan bukan sahaja diimplementasi, tetapi juga dioptimumkan dalam jangka masa panjang,” kata Zahid.
Kerajaan juga disarankan untuk melaksanakan dasar yang seragam di seluruh negara bagi memastikan semua penternak, tanpa mengira lokasi, mendapat sokongan yang setara.
Dengan adanya dasar yang seragam, tiada penternak akan ketinggalan dalam peralihan ini, seterusnya membina sistem penternakan yang lebih kukuh, inklusif, dan holistik.
Reformasi dasar perlu dipercepatkan, seiring dengan Dasar Agromakanan Negara 2030 (DAN 2030) yang menetapkan matlamat untuk mencapai SSR 140 peratus menjelang tahun 2030.
Usaha bersama antara kerajaan, industri, dan penternak adalah kunci utama dalam meningkatkan produktiviti serta mencapai sekuriti makanan yang mampan di Malaysia.
Kesimpulannya, masa depan sekuriti makanan negara bergantung sepenuhnya kepada tindakan hari ini.
Kerjasama erat antara pihak berkepentingan adalah penting untuk meningkatkan produktiviti serta memastikan potensi sebenar sektor penternakan direalisasikan demi kesejahteraan generasi akan datang.