PUTRAJAYA - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan tidak memperbaharui Sijil Perakuan (COA) GIAAN Flying Academy Sdn Bhd (GFA) yang akan tamat esok.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, ia disebabkan ketidakmampuan akademi latihan penerbangan itu menangani hasil dapatan beberapa siri audit yang telah dilaksanakan oleh CAAM selaras dengan peruntukan di bawah peraturan 189, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
"Berikutan itu, GFA tidak lagi diperakukan untuk beroperasi sebagai Organisasi Latihan Diluluskan (ATO) dan tidak boleh melaksanakan sebarang kursus latihan yang disenaraikan di bawah spesifikasi latihan COA," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Norazman berkata,keputusan itu adalah ekoran ketidakmampuan GFA menangani hasil dapatan audit pembaharuan yang dilaksanakan CAAM pada Disember 2023 berkaitan pematuhan ATO dan isu keselamatan.
Susulan itu, GFA telah digantung sementara selama 90 hari bermula 29 Disember 2023 hingga 28 Mac 2024.
Beliau berkata, selepas tamat tempoh penggantungan itu, GFA diberi peluang untuk menangani hasil dapatan audit dengan bersyarat selama enam bulan bermula 29 Mac 2024.
"Walau bagaimanapun, GFA masih gagal membetulkan kesemua dapatan audit berkenaan semasa proses audit pembaharuan sijil yang dilaksanakan pada Julai 2024 dan seterusnya menjejaskan pematuhan GFA terhadap keperluan yang ditentukan dalam Civil Aviation Directive (CAD) 1011-ATO," katanya.
Justeru, Norazman berkata, CAAM mengambil keputusan untuk tidak memperbaharui Sijil Perakuan GFA yang berakhir esok.
Beliau berkata, CAAM sebagai badan kawal selia teknikal bagi industri penerbangan di Malaysia komited dalam memastikan hanya syarikat pengendali yang mematuhi segala peraturan dibenarkan untuk beroperasi. - Bernama