Keterangan menentang Najib, umpama tamatkan hayat sendiri - Hakim

Iklan
Sequerah, Najib

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu memberitahu bahawa, sekiranya saksi-saksi memberi keterangan yang tidak berpihak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mereka umpama menamatkan hayat diri sendiri.

Ketika membaca keputusan penghakiman di akhir kes pendakwaan dalam bahasa Inggeris hampir dua jam bermula 9.24 pagi, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, ini kerana kedudukan Najib ketika kejadian ialah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, saksi pendakwaan kelapan (SP), bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin mengakui telah menerima wang daripada Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

"SP50, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, 50, juga mengakui bahawa dia diberi wang tunai dan hadiah oleh Jho Low.

Iklan

"Ahli perniagaan dalam buruan itu juga memberi Jasmine RM100 juta antara tahun 2011 dan 2014 sebagai sebahagian daripada usaha sama mereka untuk membuat pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, SP9, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi pula, menerima gaji dan bonus untuk jawatannya dalam syarikat.

Iklan

Sementara SP46, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, 77, didakwa mempunyai motif tersembunyi, kerana penglibatan ahli keluarganya.

Beliau berkata, di sebalik dakwaan yang dilemparkan terhadap mereka, saksi-saksi ini bukan rakan sejenayah kerana berterus-terang mengenai penerimaan hadiah.

Dalam hal ini katanya, tiada anggapan dalam undang-undang bahawa senarai saksi itu tidak boleh dipercayai.

Menurutnya, mahkamah ini juga mendapati bahawa tiada motif untuk mereka memberi keterangan dan memfitnah tertuduh yang ketika itu merupakan seorang pemimpin tertinggi negara.

Selain itu beliau berkata, Najib sengaja membutakan mata daripada menyiasat asal usul dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaunnya adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, ia merupakan dana yang besar iaitu AS$681 juta yang mana sejumlah AS$620 juta dikembalikan ke akaun tertuduh.

"Saya mendapati, pihak pendakwaan berjaya membuktikan ‘mens rea’ berkenaan semua tuduhan pengubahan wang haram,” katanya.

Pada Rabu, Najib diperintah bela diri atas empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama.

Hakim, Collin memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Dalam prosiding ini, Najib diwakili barisan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin manakala pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bekas Presiden UMNO ini didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperintukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Ia membabitkan 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore semula berjumlah RM2,196,786,711.87.

Bagi lima pertuduhan lagi, Najib didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM246,000 kepada Lim Soon Peng, RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.