Mara laksana program khas ke Universiti Ivy League tahun hadapan

Iklan
Asyraf Wajdi (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada penerima semasa Majlis Penutupan International Conference On Teacher Education 2024 yang diadakan di Hotel Grand Riverview di Kota Bharu, pada Rabu.

KOTA BHARU - Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan melaksanakan program khas dengan menghantar pelajar-pelajar cemerlang ke universiti Ivy League seperti Harvard, Oxford, Cambridge dan lain-lain.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia dijadualkan bermula tahun hadapan di mana perancangan ini sudah di peringkat akhir dan sedang diteliti.

Iklan
Iklan

"Ia sudah di peringkat meneliti universiti mana, program apa yang diperlukan oleh negara untuk tempoh lima ke 10 tahun akan datang.

"Manakala dari segi sasaran pelajar pula kita tidak boleh berikan anggaran lagi kerana biasanya universiti ini mengenakan yuran yang sedikit tinggi," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Iklan

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penutupan International Conference On Teacher Education 2024 yang diadakan di Hotel Grand Riverview di sini.

Menurut beliau, inisiatif ini mendapat suntikan peruntukan yang besar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menambah dana kepada Mara semasa pembentangan Belanjawan 2025 lalu.

Iklan

Ujarnya, kepercayaan kepada Mara ini pastinya akan dimanfaatkan untuk anak bangsa dengan tatakelola, takbir urus dan integriti.

"Setiap sen duit rakyat, kita akan pastikan tidak akan dibazirkan.

"Dengan harapan dapat memberikan manfaat kepada anak bangsa melalui akses kepada pendidikan berkualiti tinggi," katanya.

Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi memberitahu, seramai 4,577 pelajar di hantar ke luar negara untuk menyambung pengajian melibatkan perbelanjaan sekitar RM2 bilion.

Ujarnya, ia memfokuskan kepada bidang-bidang strategik yang diperlukan oleh negara dan kerjasama dengan kementerian seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memainkan peranan penting dalam menentukan keperluan tersebut.

Menurut beliau, jika bidang itu sudah mempunyai kepakaran di dalam negara, penghantaran pelajar akan dikurangkan.

"Contohnya, bidang perubatan yang sudah ada kepakaran di dalam negara degan kos yang murah tetapi melibatkan pakar tertentu akan dihantar ke luar negara.

"Begitu juga dengan bidang seperti sains komputer dan kejuruteraan, yang memerlukan kepakaran spesifik. Tujuan utama adalah untuk mendapatkan kepakaran luar dan mentransformasikan teknologi dalam industri, dengan fokus khusus kepada bidang-bidang profesional yang strategik," katanya.