Kos guaman 1MDB sejak 2019 lebih RM300 juta jadi persoalan - Peguam

Iklan
Haniff Khatri Abdulla

SHAH ALAM - Pendedahan pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam keterangan kes sivil 1MDB terhadap bekas lembaga pengarahnya membabitkan jumlah kos guamannya melebihi RM 300 juta sejak 2019 perlu dijelaskan kepada rakyat.

Pengamal Undang-Undang, Haniff Khatri Abdulla berkata, penting untuk pihak-pihak yang berkenaan di Kementerian Kewangan memberi butiran pendedahan berkaitan nama peguam, jumlah bayaran, tarikh bayaran dan cara bayaran itu dibuat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menjadi hak rakyat untuk mengetahui perkara penting ini kerana syarikat 1MDB pada setiap masa material adalah entiti milik rakyat Malaysia yang mana telahpun mengalami kerugian berbilion ringgit dan akan tetap menghadapi kesukaran memperoleh semula kesemua asetnya kelak.

"Menurut laporan ini dan semasa perbicaraan berjalan, perlu saya tekankan saya tidak berhasrat mendahului keputusan mahkamah walhal video ini tidak ada kaitan langsung menyentuh berkaitan tindakan sivil 1MDB terhadap bekas lembaga pengarah berkenaan.

Iklan

"Ia berkaitan keterangan yang telah tertampil dalam perbicaraan secara sendiri menjadi isu yang perlu dijawab oleh pihak berkenaan,” katanya yang dipetik melalui video yang dimuatkan di Facebook rasminya pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan The Edge bertajuk"1MDB spent over RM300 mil on legal fees to recover its assets since 2019, court told", yang membuat liputan tindakan sivil 1MDB terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarahnya dan perbicaraannya berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

Iklan

Berdasarkan keterangan salah seorang pengarahnya, 1MDB dilaporkan membelanjakan lebih RM300 juta antara 30 Ogos 2019 dan 30 Ogos 2024, terutamanya untuk yuran guaman dalam usaha mendapatkan semula asetnya.

Menurut Mohamed Haniff Khatri, persoalan daripada keterangan sampingan ini agak penting dan menjadi pertanyaan yang perlu dijawab oleh pihak berkaitan.

"Siapakah peguam-peguam yang memperoleh bayaran RM300 juta. Ini amat penting untuk jelaskan sekarang dan penjelasan tidak akan mendahului mahkamah dalam tindakan sivil 1MDB terhadap pihak-pihak yang disaman dalam kes itu.

"Saya sebagai pengamal undang-undang dan rakyat Malaysia mempunyai hak peribadi dan hak profesional untuk bertanyakan soalan ini,” ujarnya.

Tambahnya, pada 2018 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau dan seorang rakan guamannya telah ke London menggunakan pembiayaan sendiri bagi mendapatkan maklumat berkaitan ‘money trail’ (jejak wang) 1MDB.

Menurut Mohamed Haniff Khatri, beliau dan rakannya tidak berhasrat untuk menuntut walau satu sen kerana itu perjuangan untuk negara tetapi bagaimana RM300 juta dibayar oleh 1MDB untuk kos guaman sedangkan antara dokumen asal yang digunakan sekarang diperoleh oleh mereka di London.

"Saya mohon Menteri Kewangan ataupun Timbalan Menteri Kewangan untuk memberikan penjelasan di Sidang Parlimen yang sedang berjalan sekarang, kerana negara sudah rugi berbilion ringgit dalam 1MDB sekarang tanpa perolehan muktamad aset yang diperoleh sukar kembali sepenuhnya.

"Persoalannya siapakah peguam-peguam tersebut, berapa banyak bayaran guaman untuk setiap peguam, apakah khidmat yang disediakan untuk 1MDB oleh peguam tersebut, bila bayaran dibuat atau ditolak oleh mana-mana peguam hasil perolehan tersebut.

"Ini wajib dijawab kerana hak rakyat untuk tahu dan bagi saya, rakan saya mempunyai hak mengetahui kerana kami telah memberikan khidmat kepada negara tapi rakyat sudah rugi lebih RM300 juta dalam kos guaman, kami wajib dimaklumkan dengan serta-merta,” katanya.