SETIU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan seorang pemandu lori melakukan kesalahan berulang dengan membawa barangan melebihi muatan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu, Zamri Samion berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu dikesan dalam operasi khas kenderaan perdagangan di Stesen Penguatkuasa Air Sejuk, di sini pada Selasa.
Menurutnya, sebelum ini pemandu lori tersebut telah ditahan dan diambil tindakan dalam sekatan jalan raya di Kampung Labok, Machang di Kelantan pada Isnin.
"Dalam operasi ini kita mengesan kesalahan berulang yang sering dilakukan oleh pemandu lori.
"Kita juga telah menahan seorang pemandu lori yang didapati telah melanggar peraturan jalan raya dengan membawa lebihan muatan," katanya ketika ditemui di Stesen Penguatkuasa Air Sejuk, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, katanya sebanyak 12,321 kenderaan diperiksa melalui operasi khas kenderaan perdagangan yang jalankan sejak awal Oktober hingga Selasa lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,981 kenderaan telah didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, lebihan muatan serta kesalahan teknikal.
Jelas beliau, pihaknya turut menyita tiga kenderaan yang dikesan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan serta mengeluarkan saman, notis dan tindakan terhadap kenderaan yang dikenal pasti melakukan kesalahan.
"Beberapa siri kemalangan dan kematian nahas jalan raya khususnya berpunca daripada kenderaan perdagangan, jadi kita melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi meningkatkan tahap pematuhan peraturan jalan raya.
"Selain itu, ia jug bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan parah dan kematian di lebuh raya," ujarnya.
Operasi khas itu turut melibatkan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).