Rafizi kongsi tip belanjawan bayangan

Iklan
Rafizi Ramli

PUTRAJAYA - Empat dokumen yang dibentangkan di Parlimen setiap tahun sepatutnya boleh dijadikan sebagai asas oleh pembangkang untuk membuat anggaran dan unjuran dalam menghasilkan belanjawan bayangan.

Dalam nada sinis, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkongsi tip tersebut berkata, dokumen terbabit adalah tinjauan ekonomi tahunan, tinjauan fiskal dan hasil kerajaan Persekutuan, anggaran perbelanjaan Persekutuan dan senarai perjawatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sewaktu berada di blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) berjaya hasilkan belanjawan bayangan setiap tahun.

"Tinjaun ekonomi tahunan akan memberikan gambaran menyeluruh keadaan ekonomi manakala tinjauan fiskal pula adalah gambaran menyeluruh kedudukan kewangan negara," katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook pada Rabu.

Iklan

Tambah beliau, dokumen bagi Belanjawan 2024 yang dibentangkan tahun lepas boleh digunakan untuk membuat unjuran bagi tahun 2025.

"Contohnya jika pertumbuhan ekonomi bagi 2024 diramal empat hingga lima peratus tahun lepas dan itu memberi hasil X bilion dalam cukai pendapatan, Y bilion dalam cukai tidak langsung dan sebagainya.

Iklan

"Jika pertumbuhan ekonomi bagi 2025 diramal antara 4.5 ke 5.5 peratus, kita boleh unjurkan pertambahan hasil kerajaan dengan sewajarnya," ujar Rafizi.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, agihan akan dibuat selepas itu mengikut kepentingan dalam bidang ekonomi, sosial dan keselamatan serta kementerian.

"Jangan bagi alasan tiada angka. Ini umpama cikgu sudah bagi nota semua tapi masih nak tunggu skema jawapan diberi terlebih dahulu untuk jawab soalan peperiksaan,” katanya.

Pada 22 Oktober lalu, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mempersoal Perikatan Nasional (PN) yang tidak pernah membentangkan belanjawan bayangan seperti dilakukan PH ketika menjadi pembangkang sebagai saingan kepada belanjawan kerajaan.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpendapat tiada keperluan untuk pembangkang menyediakan bajet kerana itu di luar tanggungjawab dan peranan mereka.