PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pemilihan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Presiden Sesi Ke-13 Perhimpunan Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa (IACA), Vienna, Austria disifatkan Malaysia sebagai pencapaian bersejarah.
Kementerian Luar Negeri (KLN) memaklumkan, Malaysia diberi penghormatan memegang jawatan tersebut buat julung kalinya.
"Ia mencerminkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Kerajaan Madani dalam usaha memerangi rasuah selain menzahirkan keyakinan terhadap pimpinan Azalina dalam reformasi undang-undang dan tadbir urus," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Ujar KLN, Malaysia merakamkan penghargaan di atas kepercayaan dan sokongan padu yang diberikan oleh anggota IACA.
IACA ditubuhkan pada 2011 di Austria berfungsi sebagai pusat kecemerlangan dan penyelidikan antarabangsa bagi pembanterasan rasuah.
Selain itu ia juga menjadi pusat latihan utama bagi kumpulan profesional terutamanya dari kalangan agensi-agensi pencegahan rasuah.
Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan aktif dalam IACA dan pernah memegang jawatan Naib Presiden Perhimpunan Akademi Anti-Rasuah Antarabangsa sebanyak empat kali sebelum ini.
Pemilihan Azalina sebagai Presiden Sesi Ke-13 Perhimpunan IACA pada Rabu dimuktamadkan secara sebulat suara.