'Dah lebih 9 tahun, tak juga selesai'

Iklan
Masnah (tengah) memohon pihak berkenaan mempermudahkan permohonan kad pengenalan adik tirinya.
JERAM -"Lebih sembilan tahun saya ulang alik pejabat pendaftar, agama dan mahkamah nak selesaikan kad pengenalan adik tapi sampai sekarang masih buntu," demikian luahan seorang kakak, Masnah Kasan, 33.

Menurutnya, permohonan kad pengenalan adik tirinya menjadi rumit apabila pihak berwajib mengesahkan pernikahan ayahnya dengan seorang wanita warganegara Indonesia lebih 21 tahun itu tidak sah.

"Sebenarnya kami tidak tahu menahu pasal tu tapi bila nak buat kad pengenalan dan surat beranak adik, pihak berwajib minta ayah rujuk ke pejabat agama."Bila kami rujuk, dimaklumkan rupanya pernikahan ayah dengan seorang warganegara Indonesia yang diuruskan individu yang diperkenalkan kawan adalah sindiket dan kena nikah semula," katanya.

Masnah yang juga seorang guru tadika itu menjelaskan, meskipun ayah sudah dibuat pernikahan semula setahun lalu namun masalah permohonan kad pengenalan adik masih tergantung.

"Sampai sekarang tak boleh nak buat atas alasan yang tak munasabah... saya kasihan adik sebab dah lebih 10 kali kena tahan polis sebab tak ada Mykad.

"Lagi sedih bila dia boleh belajar sampai darjah 4 saja dan kena buang sebab alasan tak ada surat beranak dan Mykad. Luluh hati kami memikirkan masa depan dia sebab nak sekolah pun tak boleh.

"Kami betul-betul buntu dan sudah penat naik turun pejabat tapi tiada penyelesaian. Ayah yang sakit-sakit tu pun terpaksa gagahkan diri nak selesaikan tapi semuanya tak membantu," katanya sebak.