AKTOR Farid Kamil tetap profesional dan komited di lokasi penggambaran filem Bisikan Dosa meskipun sedang berdepan pergolakan rumah tangga buat kali kedua.
Perkara itu didedahkan pengarah filem berkenaan, Faizul A Rashid.
Menurut Faizul, ketika isu rumah tangga aktor berusia 43 tahun itu hangat diperkatakan selepas Diana Danielle membuat hantaran untuk berpisah sekali lagi, Farid masih terikat dengan penggambaran.
"Pada hari berita (perceraian) tersebar, dia ada di set penggambaran dan tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi.
"Itu satu perkara yang saya puji mengenai Farid, disiplinnya sangat baik dan profesional meskipun sedang berhadapan dengan masalah,” katanya yang sudah lama mengenali Farid.
Faizul berkata demikian ketika ditemui pada lawatan media ke lokasi filem berkenaan yang kini sedang menjalani penggambaran di Kuang, Selangor.
Bukan itu sahaja, Farid tidak pernah membuka mulut mahupun mengadu domba mengenai masalah yang dihadapi.
"Sejak masalahnya diketahui umum, dia tidak pernah meminta tangguh penggambaran. Malah setiap kali di lokasi dia sentiasa memberikan yang terbaik,” jelasnya.
Terdahulu, Diana mengumumkan sudah mengambil keputusan untuk berpisah dengan Farid dalam satu hantaran di media sosialnya.
Bagaimanapun pelakon dan penyanyi itu memilih untuk mengunci mulut mengenai keputusan yang telah dibuat dan menyifatkan rujuk bukan sesuai buat semua orang.
Farid pula dalam satu hantaran semalam berjanji untuk melakukan apa sahaja demi menyelamatkan rumah tangganya.
Untuk rekod, Diana dan Farid pernah bercerai dengan talak satu pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk selepas sebulan berpisah.
Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9 tahun.