BACHOK - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan sembilan premis makanan di daerah ini ditutup selama 14 hari kerana tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 10/2024 itu telah diadakan pada Selasa melibatkan premis makanan yang terletak di sekitar Bandar Bachok, Jalan Melawi-Kandis, Jalan Bachok-Budi, Jalan Bachok-Beris Kubur Besar dan Jalan Jelawat-Gunong.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, premis berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
Menurut beliau, sebanyak 137 notis tawaran kompaun telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009
"Operasi kali ini melibatkan pemeriksaan terhadap 58 buah premis makanan.
"Ia bagi memastikan mereka (peniaga) mematuhi peraturan yang ditetapkan sekali gus dapat mencegah penyakit bawaan air serta makanan, tifoid, kolera dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ujar Dr Zaini, orang ramai khususnya yang mengunjungi premis makanan di daerah Bachok dan juga di seluruh Kelantan agar memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar.