Perbicaraan kes 1MDB: Siasatan tidak berat sebelah, tuduhan terhadap Najib berasas

Iklan
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan dakwaan pembelaan bahawa siasatan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak berat sebelah dan meragukan tidak mempunyai merit.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berkata, hal ini kerana siasatan kes 1MDB dimulakan pada 2014 ketika tertuduh masih menjadi Perdana Menteri dan kemudian bersambung pada 2018.

Iklan
Iklan

"Berkaitan dakwaan bahawa Datuk Seri Najib ditanya soalan tertentu apabila keterangan beliau di bawah Seksyen 53(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diambil, saya dapati ini tidak menimbulkan prejudis terhadap tertuduh memandangkan cara pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan, khususnya SP49,” katanya ketika membaca penghakiman ringkas setebal 41 muka surat selama hampir dua jam.

Saksi pendakwaan ke-49 (SP49) ialah pegawai penyiasat SPRM Penguasa Kanan Nur Aida Ariffin.

Iklan

Terdahulu, Hakim Sequerah memerintah Najib, 71, untuk membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan jumlah yang sama, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi semua 25 pertuduhan pada akhir kes pendakwaan.

Hakim Sequerah turut menolak dakwaan pembelaan bahawa empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram adalah cacat, berulang dan tidak jelas dan oleh itu tidak mengikut undang-undang dan melanggar Seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) Malaysia.

Iklan

Beliau berkata, setelah meneliti keempat-empat pertuduhan, maka jelas sekali ia mengandungi masa dan tempat serta menyatakan kesalahan yang dikenakan terhadap tertuduh.

"Kesemua empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram itu memenuhi kriteria undang-undang diperlukan bagi sesuatu pertuduhan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 152, 153 dan 154 KTJ,” katanya.

Beliau berkata, Seksyen 422 KTJ memperuntukkan sebarang kecacatan dalam pertuduhan boleh diperbetulkan dengan syarat tertuduh tidak prejudis dalam apa-apa cara dan tiada kegagalan keadilan berlaku.

"Saya tidak dapati bahawa tertuduh telah diperdaya atau mengalami prejudis berkaitan pertuduhan yang dikemukakan.

"Dalam apa jua keadaan, Seksyen 156 KTJ menyatakan bahawa sebarang kesilapan atau kelalaian (yang saya tidak dapati berlaku), dengan pertuduhan tidak boleh dikira sebagai material melainkan telah menyebabkan tertuduh terkeliru, yang tidak berlaku di sini,” katanya.

Hakim Sequerah dalam penghakiman turut menyatakan bahawa unsur yang menunjukkan tertuduh adalah pegawai badan awam dengan kesemua empat pertuduhan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk sebarang tuduhan suapan (penyalahgunaan kuasa) mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM, telah dibuktikan.

Hakim itu menyatakan tidak terdapat cabaran yang serius terhadap kedudukan tertuduh sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan Malaysia serta Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan tertuduh adalah seorang pegawai badan awam pada masa itu.

"Bukti menunjukkan bahawa tertuduh mengambil tindakan pertama antaranya berdasarkan bukti daripada SP11 (Tan Sri Mazidah Abdul Majid) yang merupakan bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri yang membuktikan tertuduh telah menghadiri mesyuarat Kabinet pada 1 April 2009; membentangkan memorandum daripada Kementerian Kewangan, mendapatkan persetujuan Kabinet untuk pemberian jaminan oleh Kerajaan Malaysia kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) untuk membolehkan TIA mendapatkan pinjaman di pasaran domestik dan luar negara sehingga RM5 bilion melalui Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN)," katanya.

Hakim Sequerah turut menyatakan bahawa antara keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan mendedahkan bahawa Najib menunjukkan minat terhadap TIA Bhd sejak awal dan memainkan peranan penting dalam pengambilalihan TIA oleh kerajaan serta dalam menukar namanya kepada 1MDB.

Hakim Sequerah menyatakan bahawa Najib memainkan peranan penting dalam memastikan Kabinet memberikan persetujuan untuk pemberian jaminan oleh kerajaan bagi membolehkan TIA mendapatkan pinjaman IMTN sebanyak RM5 bilion.

Beliau juga berkata, pemeriksaan dan penilaian bukti menunjukkan bahawa Najib telah mengambil tindakan sedemikian dalam perkara yang melibatkan kepentingannya, yang merupakan fakta asas yang diperlukan untuk menimbulkan anggapan boleh disanggah bahawa tertuduh telah menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk memperoleh gratifikasi di bawah Seksyen 23(2) Akta SPRM.

Hakim Sequerah berkata, laporan jejak wang menunjukkan antara 23 Februari 2011 dan 14 Jun 2011, jumlah keseluruhan kira-kira AS$20 juta bersamaan RM60,629,839.43 daripada hasil yang dikreditkan ke dalam akaun tertuduh menerusi AmIslamic Bank daripada akaun di Riyadh Bank, Arab Saudi, yang dikesan pada terbitan bon IMTN pada 2009 dan Pinjaman Bertempoh Bersindiket pada 2010.

Berkaitan pertuduhan kedua mengenai pemerolehan dua penjana tenaga bebas (IPP) iaitu Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd dan Mastika Lagenda Sdn Bhd, hakim berkenaan berkata pihak pendakwa telah mengemukakan bukti untuk menunjukkan bahawa tertuduh mengambil tindakan tertentu dan menyebabkan 1MDB terlibat dalam dua transaksi terbabit.

Beliau berkata, jejak wang oleh penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Mohd Roslan (SP47) menunjukkan bahawa wang yang dimasukkan ke dalam akaun tertuduh (RM90,899,927.28) berasal daripada terbitan bon yang dimaksudkan untuk pemerolehan IPP Tanjong Energy (1MEL) dan IPP Mastika Lagenda (1MELL). - Bernama