IWK terus tingkat pembangunan kapasiti melalui ASTRICE

Iklan
Para peserta dapat mengikuti latihan teori yang disediakan.

Sistem kumbahan dan sanitasi, Industri 4.0 serta kaedah rawatan air kumbahan ialah bidang yang sentiasa perlu berkembang untuk kekal relevan dan berkesan.

Selain itu, pelaburan dalam teknologi industri 4.0 memerlukan bakat dan tenaga kerja yang mampu memperluaskan kemahiran serta pengetahuan mereka.

Iklan
Iklan

Menyedari hakikat itu, syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd sentiasa menekankan kepentingan bagi mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran kakitangannya serta pemain industri terutama dalam sektor rawatan kumbahan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam berkata, sebagai menyokong usaha untuk meningkatkan pengetahuan dalam kalangan pengamal industri, IWK telah menubuhkan pusat latihan pada Februari 2006 khusus untuk latihan teknikal mengenai sistem pembetungan yang memberi tumpuan kepada pengajaran teori dan praktikal.

Iklan

"Pusat latihan ini bukan sahaja telah berkongsi pengetahuan kepada pemain tempatan tetapi antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti dalam bidang hubungan pelanggan, kesihatan dan keselamatan, asas sistem pembetungan, teknologi baharu, proses rawatan serta kemahiran,” katanya menerusi satu kenyataan baru-baru ini.

ASTRICE dijenamakan semula

Iklan

Pada tahun 2021 selepas lebih satu dekad penubuhannya, IWK telah menjenamakan semula pusat latihan berkenaan kepada Asian Sewerage Training, Research & Innovation Centre (ASTRICE).

Ia sejajar dengan strategi IWK untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan bagi memenuhi keperluan perniagaan selain industri semasa serta masa hadapan.

Menerusi visi untuk menjadi hab serantau bagi pertukaran ilmu, ASTRICE memberi tumpuan kepada seminar, forum dan persidangan serta bekerjasama dengan pengendali air antarabangsa untuk program inovatif.

ASTRICE telah berjaya mengekalkan kerjasama dengan pengendali air peringkat global dan badan pensijilan, dalam membina hubungan korporat serta membuka peluang bagi mengembangkan potensi kerjasama di luar Malaysia khususnya rantau Asia untuk menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan kumbahan.

Selain itu, ASTRICE turut menawarkan pelbagai program latihan, termasuk Pengurusan Enapcemar, perkembangan sejarah pembetungan di Malaysia, Pengurusan Pembetungan Tanpa Mekanikal, Pengurusan Fleet, Loji Rawatan Berpusat, Pengurusan Berkesan Efluen dan Rawatan Air Sisa, Operasi dan Penyelenggaraan Sistem Pembetungan serta Pengurusan Sungai.

ASTRICE menyasarkan individu khusus dalam sektor pembetungan.

Kursus tersebut memberikan pengetahuan praktikal dan teori bagi memastikan peserta dilengkapi dengan ilmu yang dapat diguna pakai dalam tugasan mereka.

Topik utama merangkumi senarai 49 kursus, termasuk latihan ruang terkurung untuk individu yang dibenarkan masuk dan menjaga (Authorised Entrant and Standby Person), teknologi tanpa korekan dalam penyelenggaraan rangkaian pembetungan, reka bentuk dan pembinaan loji rawatan pembetungan.

Latihan disampaikan pakar pembetungan Program ASTRICE menyasarkan individu khusus dalam sektor pembetungan, termasuk kakitangan IWK, entiti komersial dan industri, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, pemaju hartanah dan institusi pendidikan serta komuniti.

Latihan tersebut disampaikan oleh pakar-pakar IWK dan pembetungan luar, bagi memastikan pendidikan berkualiti tinggi. ASTRICE turut menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan, termasuk khidmat nasihat kursus, sokongan teknikal, peluang rangkaian dan pembangunan profesional berterusan.

Selain itu, pusat latihan tersebut turut menawarkan pembangunan rangka kerja bagi metriks kompetensi dalam mengenal pasti keperluan dan jurang latihan.

Program yang ditawarkan telah membawa kepada pelbagai kejayaan.

Antaranya ialah Program Antarabangsa Eko-Pelancongan & Edu-Pelancongan iaitu peserta melawat tempat pelancongan tempatan yang menarik sambil mempelajari tentang pengurusan enapcemar tinja (FSM) serta kesannya terhadap sungai.

Terdapat program menarik iaitu lawatan ke Sungai Melaka dan Projek River of Life di Kuala Lumpur yang telah mengubah sungai menjadi bersih, berhabitat dan bernilai tinggi.

ASTRICE berjaya tarik perhatian antarabangsa

ASTRICE telah berjaya menarik perhatian antarabangsa apabila menyediakan latihan dan khidmat perundingan kepada 20 organisasi dari negara membangun seperti Indonesia, Thailand, Senegal dan termasuk beberapa dari negara Asia dan Afrika.

Setakat ini, ASTRICE merupakan hab utama untuk pertukaran pengetahuan dalam industri pembetungan selain menawarkan pelbagai program latihan yang direka untuk memenuhi keperluan pekerja dalaman serta peserta luar.

Fokus utama kepada seminar, forum dan persidangan, ASTRICE bersedia menjadi peneraju dalam pendidikan serta inovasi rawatan kumbahan di sekitar Asia Pasifik.

Dalam pada itu, ASTRICE telah mengambil langkah inovatif awal bagi meningkatkan dan memperbaiki latihan melalui pembangunan modul pembelajaran realiti maya (VR).

Pembelajaran secara maya penting bagi mensimulasikan proses praktikal dan penyelesaian masalah, berbanding pendekatan teori dan konvensional dalam penyampaian latihan.

Untuk keterangan lanjut atau prapendaftaran bagi kursus, layari halaman web ASTRICE di https:// astriceiwk.carrd.co/ atau hubungi Cik Sara (noorzn@pop.iwk.com.my), Encik Mirza(mirzahn@pop.iwk.com.my) atau +(6) 03-8996 7511/12/13.

ASTRICE adalah penyedia latihan berdaftar di bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDCorp) di mana semua program latihan boleh dituntut di bawah Skim Bantuan Latihan Khas (SBL-Khas).