KOTA BHARU - Harga daging lembu segar di Kelantan serendah RM20 sekilogram (kg) memberikan penjimatan yang lebih kepada rakyat di negeri ini dalam situasi kos barangan yang meningkat.
Tinjauan Sinar Harian pada Rabu mendapati rata-rata peniaga daging menjual sekitar RM20 hingga RM26 sekilogram berbanding sebelum ini RM30 hingga RM35.
Seorang peniaga daging di Kota Bharu yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 37, mendedahkan penurunan itu disebabkan tiga faktor dan antaranya limpahan lembu dari Thailand.
"Situasi itu menyebabkan kami (peniaga) boleh mendapatkan bahan mentah itu dengan harga murah.
"Yang terakhir ialah orang ramai sekarang berkira untuk berbelanja sehingga ketika harga daging segar sekitar RM30 ke atas ramai peniaga hanya mampu berputih mata," ujarnya.
Katanya, apabila harga murah orang ramai mula berbelanja kembali.
Seorang lagi penjual daging di Pasir Mas yang mahu dikenali sebagai Sulaiman, 45, mengakui terdapat segelintir peniaga menjual bahan mentah itu pada harga serendah RM20 sekilogram.
Kata dia, situasi itu menyebabkan permintaan sedikit melonjak berbanding sebelum ini.
"Cuma saya tidak tahu ia akan bertahan berapa lama. Saya sendiri hanya mampu menawarkan harga serendah RM26 hingga RM30 sahaja," katanya.
Sementara itu, seorang pengguna Wan Saiful Wan Mohammad, 36, berkata, penurunan harga memberikan rahmat buat golongan kurang berkemampuan.
Ujarnya, harga rendah itu membolehkan lebih ramai dapat menikmati daging segar.
"Walaupun kos sara hidup naik, namun bila harga daging turun ia satu rahmat buat kami," katanya.