KULAI - Polis menahan dua lelaki warga tempatan yang disyaki terlibat dalam kes ragut di sini, Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee, kedua-dua lelaki berusia 32 hingga 45 tahun itu ditahan hasil serbuan di dua lokasi berbeza sekitar Senai dan Kulai.
"Kita menerima laporan berhubung kes berkenaan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 22 tahun sekitar jam 6.55 petang, yang melaporkan dia didatangi seorang lelaki bermotosikal ketika sedang meletakkan kenderaannya di tepi Jalan Bakti, Taman Bahagia, Senai.
"Lelaki yang menaiki motosikal itu kemudiannya bertindak menarik begnya hingga putus dan terus melarikan diri.
"Bagaimanapun, hasil maklumat yang diperolehi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kulai telah melakukan serbuan di dua lokasi berlainan dan menahan kedua-dua suspek," katanya.
Untuk rekod, polis turut merampas telefon bimbit jenama iPhone 15 Pro, (dipercayai milik mangsa), 24 telefon bimbit pelbagai jenama, 29 utas jam pelbagai jenama, sebatang anak kunci motosikal lesen memandu motosikal, sebuah motosikal jenis RS 150 dan satu topi keledar warna kelabu.
Hasil semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Tambah Seng Lee, tangkapan ke atas kedua-dua suspek dipercayai telah berjaya menyelesaikan kes ragut di daerah Kulai; namun bagi menyiasat penglibatan suspek siasatan masih diteruskan bagi menyiasat penglibatan suspek dalam lain-lain kes jenayah sama di dalam mahu pun di luar daerah Kulai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan.
Kedua-dua suspek direman tujuh hari mulai Rabu lalu hingga Khamis (hari ini), bagi membantu siasatan.