SHAH ALAM - Deepavali bukan sekadar simbol kemenangan kebaikan atas kejahatan tetapi juga lambang perpaduan, harapan dan kesejahteraan bagi komuniti Hindu dan Sikh di negeri Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri Selangor sentiasa menghargai jasa dan sumbangan komuniti India, yang merupakan nadi penting dalam pembangunan negeri ini.
"Sebagai bukti komitmen kami, beberapa inisiatif telah dilaksanakan seperti penyediaan rumah mampu milik untuk bekas pekerja ladang serta bantuan pendidikan untuk pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
"Melalui usaha ini, kami bertekad memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang untuk maju dan hidup dengan selesa," ujarnya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.
Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri juga dalam usaha memeriahkan lagi perayaan Deepavali telah mengagihkan baucar bernilai RM4.4 Juta untuk komuniti India di Selangor yang memerlukan.
"Semoga Deepavali tahun ini membawa sinar kebahagiaan dan kesejahteraan kepada anda semua. Raikan bersama keluarga dan rakan-rakan dengan penuh keakraban.
"Mewakili seluruh pentadbiran kerajaan negeri Selangor, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Deepavali kepada seluruh komuniti India dan Sikh," ujar Menteri Besar.