LULUHNYA hati menyelami perasaan ibu ini menyaksikan pemergian anak sulung demi membelikan lauk makan tengah hari keluarga.
'Aiman belum sempat beli ikan..." luah Rosnah Razali, 48, dari Kampung Teluk Wang, Sungai Petani terpaksa menerima kenyataan Muhamad Aiman Safwan Mahadzir, 25, sudah tiada.
Niat tidak kesampaian, Aiman ditemui terdampar lemas di Pasar Bisik, Kota Kuala Muda, Sungai Petani kira-kira jarak 1.5 kilometer daripada lokasi terjatuh pada jam 11.50 pagi, Selasa.
Kita hanya merancang, ALLAH sahaja yang menentukan.
Lebih memilukan, pemuda itu tidak sempat bergelar suami kepada wanita yang dicintai.
Aiman sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya, Nur Farhana Abd Syukur, 23, pada Januari tahun depan dan sudah pun melakukan persiapan akhir untuk majlis itu nanti.
Reda dipinjamkan hanya 25 tahun, Rosnah menyifatkan anak lelakinya seorang yang ringan tulang.
"Dia seorang (anak) yang baik, tidak pernah melawan, semua orang sayang, dia suka tolong orang, memang dia baik sangat.
"Sebelum kejadian, saya bercakap dengan dia melalui telefon pada jam 11.30 pagi, dia beritahu ikan belum ada lagi...sat (sekejap) lagi dia beli.
"Dia pertama kali mai (datang) sini. Sebelum keluar rumah okay sahaja, senyum dan berjanji nak bawa balik ikan," luahnya.
Pada hari kejadian, arwah dan bakal isteri, Nur Farhana sudah merancang untuk melakukan ujian saringan HIV sebagai prosedur perkahwinan yang dijadualkan berlangsung Januari nanti.
"Last (kali terakhir) mesej WhatsApp dengan dia pada jam 11.30 pagi. Aiman beritahu jadi nak buat saringan HIV dan saya bersiap untuk ke sana.
"Bagaimanapun, dalam pukul 1 tengah hari, mak dia telefon beritahu (Muhamad Aiman) jatuh laut...saya terus bergegas ke lokasi," katanya.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Aiman kali terakhir dilihat berada di pesisir pantai Pasar Bisik untuk menunggu bot nelayan yang baharu tiba membawa muatan ikan sebelum dilaporkan terjatuh dan hilang dari pandangan orang ramai dipercayai dibawa arus deras.