PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya amat komited menjalankan penyiasatan secara profesional berhubung kes pemberian tender melibatkan projek 1BestariNet kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, suruhanjaya tersebut begitu komited menjalankan siasatan secara profesional dan adil bagi semua pihak yang terlibat.
Dalam menjalankan siasatan secara telus, tegas beliau, SPRM akan mematuhi semua proses sewajarnya.
"Memandangkan siasatan masih berlangsung, kami di SPRM menyeru agar semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi.
"Kami juga akan mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh YTL," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada masa ini, Azam berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan berhubung kes tersebut.
Ini kerana kata beliau, siasatan dijalankan melibatkan pertikaian teknikal berkaitan penyampaian projek antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan YTL.
Namun begitu menurutnya, SPRM akan berusaha untuk mempercepatkan siasatan dengan sebaik mungkin.