SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berhubung dengan pihak Kedutaan Rusia bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan seorang warga tempatan terlibat sebagai tentera upahan asing dalam konflik Ukraine dan Rusia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan itu telah diambil oleh Jabatan Cawangan Khas PDRM.
"PDRM melalui Cawangan Khas telah berhubung dengan Kedutaan Rusia di sini (Malaysia).
"Kita masih menunggu maklum balas mereka (kedutaan) untuk pengesahan dakwaan berkenaan termasuklah status warga tempatan yang dikaitkan dengan kejadian itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, PDRM juga ada berhubung dengan pihak keluarga individu terbabit.
Bagaimanapun, kata Razarudin, pihak keluarga memaklumkan individu itu hanya belajar di sana (luar negara).
Tegasnya, tindakan sedang diambil oleh pihak PDRM dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi selain diingatkan untuk tidak terlibat dengan mana-mana 'pejuang asing'.
Pada Selasa, tular penemuan dua keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.
Lelaki yang tular itu kononnya membabitkan diri sebagai tentera upahan dalam '16th Rifle Batallion Ukraine' yang mana ia sedang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.
Dokumen berkenaan antaranya menunjukkan alamat berdaftar di Padang Besar, Perlis.
Dikatakan, kedua-dua dokumen itu ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.