Mengambil kesempatan ketika rakyat kesempitan

Iklan
Gambar hiasan -Foto Bernama

SEKARANG ini adalah masa yang terbaik untuk membuat duit. Merak Jalanan cakap begitu sebab ada segelintir peniaga yang sedang mengambil kesempatan ketika masyarakat dalam kesempitan.

Sekarang ini ramai yang panik dengan wabak koronavirus yang telah meragut 811 nyawa di China.

Iklan
Iklan

Di Malaysia, sebanyak 17 kes positif dilaporkan setakat ini dan 12 daripadanya ialah warga China.

Sehingga kini, cara jangkitan koronavirus masih tidak diketahui dengan jelas. Kes yang dikesan didapati mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.

Iklan

Sebagai langkah penjagaan, ramai yang mula menggunakan topeng muka (mask) apabila keluar daripada rumah atau mengunjungi tempat sesak.

Tapi bayangkan ada peniaga yang menjual topeng muka dengan harga antara RM120 hingga RM140 sekotak.

Iklan

Harga yang dijual tidak munasabah kerana harga kawalan bagi penutup mulut dan hidung satu lapisan dijual pada harga RM7 sekotak, manakala dua lapisan pula dijual pada RM10 sekotak dan tiga lapisan RM40 sekotak sementara penutup N95 pula RM6 sekeping,

Namun apa pilihan yang ada sekarang ini. Pengguna terpaksa membeli walaupun harga sudah berlipat kali ganda. Stok pula terhad.

Bagaimanapun Merak Jalanan bersyukur kerana peniaga tersebut sudah dikenakan tindakan. Terima kasih kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang pantas bertindak.

Merak Jalanan berharap, peniaga-peniaga cekik darah yang mahu untung lebih ketika rakyat sedang dalam kesusahan perlu diambil tindakan yang paling tegas.

Mereka langsung tidak memikirkan kesusahan orang lain, sebaliknya lebih memikirkan kepada keuntungan yang diperolehi dalam tempoh singkat.