JEMPOL - Gerai di simpang empat Bandar Seri Jempol di sini yang sudah berusia 41 tahun perlu dibaik pulih dan diberi perhatian oleh kerajaan berikutan keadaannya semakin usang.
Kedudukan gerai itu yang strategik apabila ia menjadi tumpuan pengguna jalan raya yang hendak ke Pantai Timur selain dilengkapi dengan kemudahan awam termasuk surau.
Peniaga makanan dan minuman, Nor Hayati Abd Talib, 65, berkata, dia sudah berniaga di lokasi itu sejak lima tahun lalu bermula Khamis hingga Ahad jam 6.30 pagi hingga 5.30 petang.
"Eloklah dinaik taraf gerai dekat sini sebab kalau keadaannya lebih cantik dan baru, Insya-ALLAH boleh merancakkan lagi perniagaan kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Peniaga buah-buahan, Mohammad Fakrul Akmal Kamarudin, 27, pula berkata, terdapat 23 gerai di situ yang kebanyakannya sudah bertahun-tahun berniaga.
"Saya ambil alih gerai buah ini daripada ayah dan abang yang mana perniagaan ini sudah beroperasi sejak 20 tahun lalu, maka wajarlah bangunan gerai ini dinaik taraf sebab Jempol pun sudah semakin maju," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli berkata, surat permohonan untuk membina baru gerai tersebut telah dikemukakan oleh Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 27 Januari tahun lalu.
Justeru katanya, diharap kerajaan dapat memberikan perhatian terhadap perkara tersebut bagi menggantikan gerai sedia ada yang telah lama dan usang beroperasi sejak 1983.
"Imej gerai ini perlu dijaga kerana ia terletak di lokasi strategik iaitu berhampiran dengan Dataran Sri Jempol yang meriah dengan pelbagai program sepanjang tahun termasuklah acara tahunan Petronas Cub Prix Championship yang telah berlangsung selama 12 tahun," katanya.
Katanya, beliau turut memaklumkan permohonan itu ketika sesi perbahasan rang undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat pada Isnin.