ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki sempat memuji masakan ibunya sebelum maut akibat renjatan elektrik di kawasan sawah di Kampung Tanjung Putus, di sini, pada Rabu.
Ibu mangsa, Nur Suraya Abdul Rahman, 42, berkata, dia sempat makan tengah hari kali terakhir bersama anak lelakinya, Muhammad Hariyz Akief Noraimi, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad.
Bagaimanapun, katanya, Muhammad Hariyz Akief yang dipanggil Angah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan hanya berulang kali memuji masakannya,selain makan dengan penuh berselera.
"Padahal saya hanya masak ayam goreng dan sambal belacan saja tapi dia cakap, sedap ibu masak hari ini dan saya tak akan makan lagi lepas ni.
"Akief seorang anak yang baik dan dalam keluarga dia paling ceria dan ketika abangnya, Muhammad Shabil Airil, 17, dimasukkan ke wad hospital akibat penyakit asma Jumaat lalu, Akief yang menjaga adiknya, Muammar Luthfil Hadi, 7, di rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada Khamis.
Kata Nur Suraya, anak lelakinya itu juga lebih suka bergaul dengan orang yang lebih tua daripadanya termasuk rakan-rakan abangnya.
Tambahnya, dia hanya mengetahui perkara itu apabila membuka pintu dan melihat Akief tidak sedarkan diri di kawasan sawah selepas dimaklumkan tentangnya oleh rakan-rakan anak lelakinya itu.
Katanya, suaminya, Noraimi Ahmad, 42, yang baru pulang kerja terus bergegas ke lokasi sebelum mendapati anaknya tidak sedarkan diri manakala keempat-empat rakannya penuh dengan lumpur di dalam sawah.
Menurutnya, dia reda dengan apa yang menimpa anak lelakinya namun masih terkejut kerana arwah tiada kelakuan pelik ditunjukkannya ketika mereka berdua makan tengah hari terakhir bersama.
Nur Suraya memaklumkan, dia akan menyimpan segala kenangan bersamanya sampai bila-bila terutama barang milik arwah yang banyak dalam rumah mereka.
Menurutnya, dia mendoakan rakan-rakan anaknya yang kini sedang menerima rawatan di hospital itu segera pulih walaupun dimaklumkan seorang daripada mereka melecur hampir 50 peratus.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap, Asisten Superintenden (ASP) Yukhrul Mohd Yusof memberitahu, seorang remaja maut manakala empat yang lain cedera selepas terkena renjatan elektrik di kawasan sawah di Kampung Tanjung Putus, di sini, dalam kejadian pada jam 6.30 petang,Rabu.
Beliau berkata, kumpulan remaja terbabit terkena renjatan elektrik dipercayai ketika mengambil umpan pancing tiruan yang tersangkut menggunakan sebatang galah aluminium pada kabel elektrik.
Bagaimanapun,katanya, secara tiba-tiba mereka berlima terkena renjatan elektrik sehingga pengsan, namun keempat-empat rakan-rakannya sedar kembali dan mangsa masih tidak sedarkan diri.
Tambah beliau, mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Nerang oleh penduduk kampung namun mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
Jenazah Muhammad Hariyz Akief dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Putus, di sini, sebaik selesai urusan bedah siasat.