PKBM mahu ubah persepsi penaja

Iklan
Amarjit

ERA baharu sukan berbasikal pada 2025 menjurus ke arah meyakinkan penaja bagi menjamin kelangsungan kecemerlangan disiplin tertentu khususnya skuad lebuhraya negara.

Itu antara rumusan utama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selepas Mesyuarat Exco pertama dipengerusikan presiden baharu, Datuk Amarjit Singh di Kuala Lumpur minggu lalu.

Iklan
Iklan

Amarjit yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) percaya skuad lebuhraya negara harus dibantu dengan segala cara selepas meraih beberapa kejayaan termasuk menang pingat emas di Sukan SEA 2023 di Siam Reap, Kemboja.

Bagaimanapun tegasnya agak malang apabila PKBM agak sukar mendapat kepercayaan penaja bagi meneruskan rentak kegemilangan skuad lebuhraya kebangsaan yang pernah muncul negara terbaik Asia di Le Tour de Langkawi 1999.

Iklan

"Bagaimanapun bermula akhir 2013, PKBM tidak lagi menerima penajaan atau bantuan kewangan khususnya daripada KBS. Bagaimanapun, senario ini tidak berlaku di negara lain khususnya Thailand.

"Saya difahamkan skuad lebuhraya Thailand menerima banyak penajaan daripada syarikat swasta negara tersebut. Kenapa perkara ini tidak berlaku di Malaysia?

Iklan

"Jadi, pada mesyuarat Exco pertama yang, kita bincang secara kritikal berkaitan perkara ini. Kita mahu ubah persepsi bahawa PKBM ialah sebuah persatuan yang bermasalah.

"Apa yang pasti skuad lebuhraya negara menang pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki di Sukan SAE 2021 di Hanoi, Vietnam dan Sukan SEA 2023 di Siam Reap, Kemboja,” katanya.

Sehubungan itu, Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) berharap akan ada penaja yang sudi tampil membantu skuad lebuhraya kebangsaan bagi mengharungi Sukan SEA 2025 di Thailand.

Beliau juga mendedahkan ketika ini skuad lebuhraya kebangsaan tidak menerima hak eksklusif boleh berlatih di luar negara dan menerima bantuan kewangan yang banyak seperti diterima skuad trek negara.

Sementara itu, Mesyuarat Exco pertama PKBM turut melakukan rombakan barisan biro bagi memastikan persatuan tersebut kekal relevan sebagai penyumbang tradisi pingat di Sukan Olimpik, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEA.

Amarjit mengekalkan kedudukannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Trek dan Tatatertib.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKBM, Mazlan Md Jail bertukar kepada Jawatankuasa Anti-Doping.

Naib Presiden PKBM, Norazman Datuk Abu Samah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Lebuhraya manakala bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Cycling for All dan Pindaan serta Tugas-tugas Khas.