'Hormati prinsip seseorang itu tidak bersalah melainkan setelah dibuktikan bersalah'

Iklan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Muzaffar Syah Mallow

SHAH ALAM - Orang ramai perlu menghormati sistem keadilan negara dan membiarkan perbicaraan sesuatu kes jenayah di mahkamah berlangsung dengan aman serta lancar tanpa sebarang gangguan.

Pakar undang-undang dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, sebelum ia dibicarakan sepenuhnya dan keputusan muktamad diberikan oleh pihak mahkamah, masyarakat tidak boleh mengeluarkan keputusan mereka sendiri atau memberi sebarang label kepada pihak yang dituduh.

Iklan
Iklan

"Prinsip itu adalah penting bagi melindungi diri pihak yang dituduh daripada dipandang serong oleh masyarakat sehingga boleh menjejaskan kehidupan diri tertuduh itu sendiri dan keluarganya,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Najib pada Rabu diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi atas pendakwaan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama.

Iklan

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Iklan

Ujar Muzaffar, prinsip tersebut juga dianggap sebagai hak asasi yang patut dimiliki oleh setiap manusia seperti termaktub di bawah Artikel 11 Pengisytiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR 1948).

Menurutnya, ia juga selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dibawah Artikel 5 (1) yang memperuntukkan hak kebebasan diri untuk setiap warganegara Malaysia.

"Artikel 5 (1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan dengan jelas bahawa tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali mengikut undang-undang.

"Oleh yang demikian adalah penting supaya hak kebebasan diri setiap individu dihormati serta dilindungi pada setiap masa,” ujarnya.