PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua lagi individu termasuk pengerusi syarikat yang merupakan warga asing berhubung projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan pertanian.
Menurut sumber, perintah reman selama lima hari sehingga Isnin telah dikeluarkan oleh pendaftar, Tuan Syahrul Sazly Md Sain terhadap kedua-dua suspek.
Jelasnya, tindakan reman dibuat selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
"Kedua-dua suspek lelaki yang berusia kira-kira 40 hingga 50-an telah ditahan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM lewat petang semalam (Rabu).
"Hasil siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan pengurus bagi Bahagian Promosi dan Pemasaran pertubuhan tersebut telah menerima sebut harga daripada wakil syarikat yang terlibat untuk mendapatkan kelulusan daripada pengerusi pertubuhan," katanya pada Khamis.
Sumber berkata, pengerusi pertubuhan telah memberi kelulusan untuk melantik syarikat asing itu tanpa perbandingan harga ataupun melalui Lembaga Pengarah.
Katanya, kontrak pembekalan baja bernilai kira-kira RM60 juta secara runding terus telah dibuat dalam tempoh masa enam hari sahaja pada sekitar Jun 2022.
Sedangkan jelasnya, syarikat asing itu tidak pernah mendapat apa-apa kerja daripada pertubuhan tersebut sebelum ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(a)Akta SPRM 2009.
Sehingga Khamis, kata beliau, seramai tiga individu telah ditahan termasuk seorang eksekutif pemasaran syarikat yang direman pada Rabu sehingga Sabtu.
Untuk rekod, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion untuk perolehan baja pertanian negara.