TEMERLOH - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas tercampak ke dalam gaung daripada kereta pacuan empat roda yang dipandunya ibunya hilang kawalan di Kilometer (KM) 119 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hala Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu,mangsa,Aisy Reyhan Matin Mohd Redza,2 dari Kampung Sungai Kertas,Batu Caves meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala manakala ibu mangsa dan tiga lagi anaknya cedera akibat kemalangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Temerloh,Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux.
Menurutnya,siasatan awal mendapati kereta yang dipandu ibu mangsa,Norhidayatul Akma Jaafar,42 dari arah Temerloh menghala ke Kuala Lumpur.
"Apabila sampai di tempat kejadian,dipercayai pemandu yang memandu di lorong kanan hilang kawalan kerana melanggar lopak air lalu melanggar besi penghadang jalan di tengah.
"Ia menyebabkan mangsa tercampak ke bawah gaung sedalam tujuh meter dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.
Ujarnya selain Norhidayatul,tiga lagi mangsa iaitu anak-anaknya iaitu Rania Zulfa,12,Muhammad Adeeb Rayyan,9,Muhammad Rezqi Zayn Jaydren,5 dan cedera dan dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk rawatan lanjut.
"Mayat mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan siasatan lanjut masih diteruskan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987," jelasnya.