Taufan Super Kong-rey landa Taiwan, seorang maut, 73 cedera

Iklan
Taufan Super Kong-rey melanda Taiwan menyebabkan kerosakan bangunan, pokok tumbang dan kerosakan jalan raya. Foto AFP

TAIPEI - Taufan Super Kong-rey melanda Taiwan pada Khamis, mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang maut dan 73 cedera akibat kemalangan yang berpunca daripada hujan lebat dan angin kencang, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa), memetik Pusat Operasi Kecemasan Pusat (CEOC).

Radius ribut Kong-rey melebihi 320 kilometer, menjadikannya taufan terbesar yang melanda Taiwan dalam tempoh hampir tiga dekad. Kali terakhir taufan dengan radius ribut melebihi 300 kilometer mendarat di pulau itu ialah Taufan Herb pada 1996, menurut Agensi Berita Pusat yang dikendalikan kerajaan.

Iklan
Iklan

Ribut itu mendarat di timur Taiwan pada sebelah petang Khamis, menurut Pentadbiran Cuaca Pusat (CWA).

Di tengah Taiwan, kerajaan Daerah Nantou melaporkan sebuah trak dihempap pokok di tepi jalan, menurut CEOC. Dalam kemalangan itu, seorang wanita berusia 56 tahun dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia pada sebelah petang.

Iklan

Ia melaporkan lebih 1,429 kemalangan, seperti pokok tumbang dan kerosakan jalan raya, sambil menambah 9,658 orang di kawasan yang terdedah kepada bencana di bandar dan daerah yang berbeza dipindahkan.

Di sekitar pulau itu, sekurang-kurangnya 207,209 isi rumah mengalami gangguan bekalan elektrik awal Khamis.

Iklan

Sekolah dan perniagaan di seluruh Taiwan ditutup pada Khamis. Pasaran kewangan juga ditutup. Cuaca buruk mengakibatkan pembatalan semua penerbangan domestik dan sekurang-kurangnya 298 penerbangan antarabangsa digantung. Semua perkhidmatan feri rentas selat dan domestik digantung pada Khamis.

Presiden Lai Ching-te, yang menghadiri mesyuarat CEOC berkata, tentera komited sepenuhnya menyokong usaha pencegahan bencana. Ching-te turut menggesa orang ramai dan pelancong untuk mengelakkan kawasan pantai demi keselamatan mereka. - Bernama-dpa