Penyelidikan Australia kaitkan malam lebih cerah tingkatkan risiko kematian

Iklan
Pendedahan kepada cahaya terang pada waktu malam dan siang yang lebih gelap dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian. Gambar hiasan

CANBERRA - Pendedahan kepada cahaya terang pada waktu malam dan siang yang lebih gelap dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian, menurut satu penyelidikan di Australia, lapor Xinhua.

Penyelidikan yang diterbitkan pada Khamis oleh Universiti Flinders di Australia Selatan itu menganalisis lebih 13 juta jam data yang dikumpul daripada sensor cahaya yang dipakai oleh 89,000 orang.

Iklan
Iklan

Kajian itu mendapati bahawa individu yang terdedah kepada tahap cahaya tinggi pada waktu malam menghadapi peningkatan risiko kematian sebanyak 21 hingga 34 peratus, manakala mereka yang terdedah kepada cahaya siang yang terang mengalami pengurangan risiko kematian sebanyak 17 hingga 34 peratus.

Penulis kajian menyatakan bahawa pendedahan kepada cahaya pada waktu malam mengganggu irama sirkadian badan, iaitu kitaran perubahan fizikal, mental dan tingkah laku selama 24 jam, dengan melemahkan isyarat perentak pusat yang mengatur irama berkenaan.

Iklan

"Pendedahan kepada malam yang lebih cerah dan siang yang lebih gelap boleh mengganggu irama sirkadian kita, gangguan yang diketahui membawa kepada pelbagai masalah kesihatan, termasuk diabetes, obesiti, penyakit kardiovaskular, masalah kesihatan mental, dan meningkatkan risiko kematian,” kata Sean Cain, penulis kanan dan pakar tidur dari Universiti Flinders, dalam satu kenyataan media.

"Penemuan baharu mengenai potensi kesan buruk cahaya ini menunjukkan betapa pentingnya corak pendedahan cahaya peribadi untuk kesihatan anda,” kata Cain.

Iklan

Ketua Penulis Daniel Windred berkata, penemuan itu menunjukkan kepentingan mengekalkan persekitaran yang gelap pada lewat malam dan mencari cahaya terang pada waktu siang untuk meningkatkan irama sirkadian.

Kajian ini berdasarkan data daripada 89,000 peserta Biobank United Kingdom, berusia 40 hingga 69 tahun, yang memakai sensor cahaya di pergelangan tangan dominan mereka selama tujuh hari dalam keadaan bebas antara 2013 dan 2016. Kemortalan peserta dicatatkan oleh Perkhidmatan Kesihatan Nasional sepanjang tempoh susulan selama lapan tahun. - Bernama-Xinhua