SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa memasukkan pendekatan sama seperti yang dilakukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) iaitu Strategi Pembanterasan Rasuah Majlis Bandaraya Ipoh (ICCACS) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, inisiatif tersebut penting kerana ia merupakan badan berkuasa yang sering terdedah kepada suapan.
"Sekali gus, bertujuan meningkatkan kesedaran, pembudayaan integriti serta amalan tatakelola,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, MBI merupakan PBT pertama di Malaysia yang menyediakan ICCACS selaras dengan pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin Mad Daud berkata, usaha tersebut bertujuan memberi penekanan kepada keberkesanan pencegahan rasuah dan peningkatan tatakelola serta integriti dalam perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, Zairudin meminta PBT mematuhi tatacara berkuat kuasa dalam mengurus peruntukan yang disalurkan KPKT.
Tambahnya, tindakan itu bagi mencapai objektif peruntukan bagi mengelakkan ketirisan atau sikap tidak amanah berlaku dalam badan berkuasa berkenaan.
"Sama ada ia mampu menghapuskan gejala rasuah ataupun tidak, masa yang akan menentukan. Paling utama adalah ketelusan dan penguatkuasaan konsisten serta tidak berpihak.
"Dengan kerjasama dan kesedaran semua pihak tiada yang mustahil dalam membendung masalah ini. Peranan dan tanggungjawab PBT penting dalam memastikan agenda kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan secara telus serta berkesan,” ujarnya.