Stadium Shah Alam diperiksa sekali lagi

Iklan
Pemeriksaan kali kedua terhadap Stadium Shah Alam dijangka melibatkan DEFM, FAS dan MFL. -Foto: ZURAIMEE ZAINAL

PEMERIKSAAN terhadap tahap kesediaan Stadium Shah Alam bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 akan dijalankan sekali lagi dalam minggu ini dengan aspek kerosakan bumbung dijangka menjadi fokus utama.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Darul Ehsan Facilities Management (DEFM), Mohd Fahmi Mohd Nordin berkata, pemeriksaan tersebut akan melibatkan DEFM selaku pihak bertanggungjawab menguruskan Stadium Shah Alam, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Iklan
Iklan

Menurut Mohd Fahmi, pemeriksaan awal dijalankan pihak MFL sebelum ini tidak menyentuh mengenai aspek kerosakan bumbung, sebaliknya tumpuan hanya kepada usaha penambahbaikan permukaan padang dan keadaan bilik persalinan pemain.

"Kita (DEFM) akan ada satu lagi pemeriksaan dengan MFL dan FAS dalam beberapa hari ini, jadi kita tunggu dan lihat apa ketetapan bakal dibuat. Mengenai pemeriksaan sebelum ini, ia lebih kepada spesifikasi lain dan MFL tidak memberi sebarang maklum balas berkaitan bumbung,” katanya.

Iklan

Selangor berdepan kemungkinan melupakan aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini di Stadium Shah Alam selepas pemeriksaan awal dilakukan MFL mendapati, terdapat beberapa perkara yang tidak mencapai tahap piawaian seperti ditetapkan.

Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL Mohd Shazli Shaik Mohd dipetik sebagai berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan penambahbaikan hasil pemeriksaan awal sebelum ini kepada FAS, untuk segera melakukan kerja-kerja membaik pulih stadium termasuk dari aspek bumbung.

Iklan

Menurut beliau, semua venue membabitkan aksi Liga-M musim ini perlu mendapatkan kelulusan dengan menepati tahap piawaian ditetapkan, sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Februari.

Bagaimanapun, penetapan tarikh itu kini menimbulkan persoalan mengenai status Stadium Shah Alam apabila Mohd Fahmi hari ini mengesahkan kerja-kerja membaik pulih stadium tersebut tidak dapat dilakukan sebelum bermulanya liga.

Beliau berkata, pihaknya hanya boleh memberi jaminan dari segi pemantauan rapi mengenai tahap keselamatan penonton sehingga kerja-kerja membaik pulih yang dijangka dilakukan tahun ini bermula, sekiranya Selangor dibenarkan terus menggunakan stadium tersebut.

"Masalah kerosakan bumbung menjelang pembukaan liga musim ini memang tiada sebarang penambahbaikan akan dilakukan, tetapi kita akan membuat pemantauan rapi dari semasa ke semasa terutama jika cuaca ribut,” katanya. - Bernama