'Alhamdulillah yang terbaik untuk Team Sapura'

Iklan
Aiman -Foto Bernama

STRATEGI pemecahan awal oleh pelumba negara, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff jelas mendatangkan hasil apabila meraih Jersi Merah selaku Raja Bukit pada peringkat ketiga perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Dataran Temerloh ke Menara Berkembar Petronas, di sini, hari ini.

Pelumba Team Sapura Cycling (TSC) itu, yang menguasai tiga zon pendakian pada peringkat kedua semalam, terus mempamerkan kayuhan mantap selepas mengutip 16 mata pada tiga zon pendakian di Bukit Damar, Bentong dan Genting Sempah pada perlumbaan sejauh 162.5km itu.

Iklan
Iklan

Pelumba pecut NTT Pro Cycling Team, Maximilian Richard Walscheid dari Jerman muncul juara, disusuli pelumba Itali, Riccardo Minali dari pasukan Nippo Delko Provence dan pelumba TSC, Ahmet Orken yang masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.

Ketua juri menganugerahkan masa yang sama iaitu 3 jam 51 minit dan 42 saat kepada 10 pelumba teratas yang menamatkan peringkat ketiga secara berkelompok.

Iklan

"Syukur, Alhamdulillah, saya mampu buat yang terbaik untuk Team Sapura. Saya sangat berpuas hati sebab apa yang saya lakukan semuanya menjadi.

"Saya memang sasar buat pemecahan awal untuk kutip mata maksimum di zon pendakian, namun kebocoran tayar sewaktu KOM 3 menyaksikan pelumba Australia (Rylee Field) berjaya mengutip mata penuh," kata Muhamad Nur Aima, 22, ketika ditemui pemberita selepas perlumbaan berkenaan.

Iklan

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, menyampaikan hadiah kepada pemenang perlumbaan.

Turut hadir isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Mengulas mengenai peluang mengekalkan Jersi Merah, anak jati Setiu, Terengganu itu optimis mampu menambah kutipan mata dalam beberapa zon pendakian esok yang merupakan Queen Stage, terutamanya pendakian kelas Hors di Genting Highlands.

"Esok, saya cuba buat pemecahan awal untuk tambah kutipan mata. Kalau hendak kekalkan jersi ini,” katanya.

Peringkat keempat, esok melibatkan jarak sejauh 156.1km dengan tiga zon pecutan di Segambut, Serendah dan Batang Kali, selain zon pendakian di Tekali, Ampang Look Out, Selayang, Rawang dan Genting Highlands. - Bernama