Syed Danial dahului senarai penerima darjah kebesaran ulang tahun keputeraan Sultan Perak

Iklan
Mohd Zahidi (tengah) menunjukkan senarai penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi tahun 2024.

IPOH - Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mendahului senarai Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi tahun 2024.

Beliau dianugerahkan Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Dato' Seri bersama dua lagi penerima lain iaitu Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation, Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.

Iklan
Iklan

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, selain tiga individu berkenaan, Darjah Dato’ Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Dato' dikurniakan kepada seorang penerima iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

"Secara keseluruhannya, jumlah penerima Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak yang telah mendapat perkenan Sultan Perak untuk dikurniakan pada tahun ini berjumlah 213 orang penerima.

Iklan

"Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-Pingat Negeri Perak Darul Ridzuan pada tahun ini dikurniakan kepada mereka yang benar-benar layak, banyak berjasa kepada negeri Perak Darul Ridzuan dan mengharumkan nama negeri serta memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Laman Seri Ridzuan di sini pada Khamis.

Mohd Zahidi berkata, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan sebanyak dua sesi iaitu pada 9 November depan bagi sesi pertama melibatkan penganugerahan Darjah Kebesaran SPMP hinggalah kepada Paduka Mahkota Perak (PMP) manakala sesi kedua pula akan dilangsungkan pada 16 November di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Iklan

Menurutnya, sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan penganjuran Majlis Bacaan Surah Yassin dan Doa Selamat yang akan diadakan bertempat di Masjid Sultan Azlan Shah di sini pada waktu Solat Jumaat hari ini.

Jelasnya, majlis yang sama akan turut diadakan di semua Masjid-masjid Daerah di seluruh negeri Perak dengan diketuai Orang Besar Jajahan dan Pegawai Daerah mengikut daerah masing-masing.

Beliau berkata, baginda turut berkenan mengurniakan makanan tengah hari kepada semua banduan dan tahanan di negeri ini yang disambut secara rasmi pada Jumaat.

Sumbangan disampaikan melalui Jabatan Penjara Perak itu melibatkan 7,800 banduan di Penjara Tapah dan Taiping, tahanan Pusat Koreksional Kamunting, penghuni Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan penghuni Rumah Perantaraan Penjara Perak.

Sementara itu, sempena Sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak pada tahun ini, Sultan Nazrin juga turut berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato' kepada lapan orang penerima.

Mereka termasuklah Naib Canselor Universiti Sultan Idris Shah (UPSI), Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff; bekas pegawai undang-undang Petronas yang juga penulis undangan untuk akhbar New Straits Times,; bekas Pegawai Undang-undang Petronas, Abdul Rahim Mydin; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Dr D Philip Rajan.

Turut menerima darjah kebesaran sama, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Salasiah Abdul Wahab; Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Yong Zarida Sazali; Duta Besar Malaysia ke Belanda, Roseli Abdul dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), Anuar Zainal Abidin.

Bagi penerima Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS), Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mendahului senarai penerima diikuti Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM, Senior Asisten Komisioner Ng Kong Soon.

Selain itu Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Thevendran CS Maniam; Pakar Obstetrik dan Ginekologi ATM, Brigedier Jeneral Dr Sharifah Sofiah Syed Zainol serta Panglima Wilayah Laut 1, Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Muda Farizal Myeor turut menerima darah kebesaran sama.

Dalam pada itu, seramai 13 orang penerima dikurniakan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) antaranya termasuklah Pegawai Daerah Hulu Perak, Mohamad Fitri Hassan; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Perak, Nor Tipah Majin; Yang Dipertua Majlis Daerah Kerian, Helmi Yusof dan Timbalan Naib Canselor Akademik, Universiti Teknologi Petronas, Prof Dr Hilmi Muktar.

Selain itu, Darjah PMP pula diberikan kepada 28 orang penerima manakala Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) dikurniakan kepada 14 orang penerima dan 61 orang lagi menerima Pingat Pekerti Terpilih (PPT).

Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 39 orang penerima termasuk Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah, Syed Mohd Muzaffar Syed Azlan; Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, Shamsahhimi Harun; Pengetua SMK King Edward VII, Alias Areff; Pengetua Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gopeng, Roslina Ishak; Pengetua SMK Agama Sultan Azlan Shah, Taufik Suhaimi Ahmad dan Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Choy, Tan Chee Ming.

Baginda turut berkenan mengurniakan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 30 orang penerima termasuk pengamal media iaitu Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak, Nor Ain Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Perak, Abd Razak Mohd Ali.

Turut menerima pingat sama, jurulatih pasukan hoki Perak, Mohd Nizam Mohd Hashim; atlet sepak takraw, Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin; atlet muay thai, Nur Amisha Azril Rizal serta dua atlet boling padang, Aleena Ahmad Nawawi dan Izzat Shameer Dzulkeple.