Henti londeh aib sendiri dalam podcast

Iklan
Tindakan platform podcast berlumba-lumba mengejar sensasi dan kisah tular sedikit banyak mencetuskan aura negatif, sekali gus membimbangkan masyarakat. Gambar hiasan

SEJAK kebelakangan ini, siaran podcast atau audio siar ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Ramai menunjukkan bakat masing-masing mengulas dalam isu-isu semasa yang menarik.

Tidak salah memberi pendapat dan melontarkan pandangan kerana itu hak kebebasan bersuara. Namun ada segelintir podcast gemar membincangkan isu-isu sensitif.

Iklan
Iklan

Misalnya baru-baru ini, sebuah podcast kerana menampilkan seorang bekas banduan yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan membunuh.

Bukan itu sahaja, ada individu yang melakukan perbuatan zina turut dijemput sebagai tetamu. Lebih malang, ada podcast berani mengambil tetamu yang dikaitkan sebagai ‘penyondol’.

Iklan

Melihat reaksi netizen, ramai yang mengecam perkara tersebut kerana orang yang melakukan perbuatan tidak baik diangkat serta diraikan dalam tamu bual bicara.

Tanpa segan silu mereka bercerita seolah-olah bangga dengan ‘dosa’ silam dilakukan, sedangkan sepatutnya dia tidak berasa selesa menceritakan aib sendiri kepada umum.

Iklan

Tindakan platform podcast berlumba-lumba mengejar sensasi dan kisah tular sedikit banyak mencetuskan aura negatif, sekali gus membimbangkan masyarakat. Kalau tidak dikawal, habis semua cerita dilondehkan.

Penulis tidak mahu menghukum kerana setiap individu berbeza pandangan dan berhak untuk memilih sesiapa sahaja untuk tampil di platform masing-masing, namun biarlah ia memberi manfaat, bukan sekadar sensasi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan sebelum ini berkata, ruang podcast sepatutnya digunakan oleh golongan intelektual untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu yang boleh menyumbang kepada kemajuan negara dan bersifat ilmiah.

Baru-baru ini, media juga ada melaporkan isu mengenai kebimbangan kewujudan podcast yang semakin banyak dalam kalangan pencipta kandungan tempatan kepada Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau memberitahu, belum ada keperluan menyekat lambakan podcast kerana tidak nampak ada masalah.

Bagaimanapun, ujar beliau, sekiranya ada kandungan yang menimbulkan apa-apa isu sensitif, sudah pasti pihak berkuasa akan mengambil tindakan wajar berdasarkan undang-undang sedia ada.

Malah, katanya, dari sudut positif, usaha podcaster itu dapat menggalakkan minat dalam penghasilan kandungan berkualiti.

Memang tidak dinafikan siaran podcast ada bagusnya kerana pendengar boleh mendengar kandungan yang diminati, bertukar-tukar pendapat dan menjana pendapatan, cuma perlulah berhati-hati memilih topik dan tetamu.

Penyedia kandungan podcast juga perlu bertanggungjawab dengan setiap bahan yang dimuat naik bagi mengelak kontroversi dan gelombang toksik serta tidak melanggar norma sosial diiktiraf secara meluas di Malaysia.

Penggunaan bahasa sopan dan pendekatan yang mahu disampaikan juga perlu dititikberatkan bagi memastikan sesuai dengan nilai masyarakat majmuk.

Elak menggunakan perkataan sensitif dan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum. Ini kerana podcast salah satu sumber maklumat dan alat pembentukan masyarakat positif.

Jika kandungan itu negatif, boleh berlaku keruntuhan akhlak dan begitu sebaliknya.

Contohnya, sebelum ini ada podcast dimuat naik di media sosial tentang seorang pempengaruh mengulas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kononnya tidak penting dan tiada nilai dalam kehidupan. Impaknya besar, jika ramai terpengaruh dengan kandungan podcast ini.

Jangan lupa, pada tahun 2023, seramai 10,160 calon SPM tidak menduduki peperiksaan.

Oleh itu, jangan terlalu ghairah mencipta kandungan podcast hingga lupa pentingnya mendidik khalayak.

Selain itu, perlu membuka ruang, peluang kepada lebih ramai individu untuk berkongsi dan mendengar kisah yang bermakna untuk dijadikan inspirasi bukannya individu terpalit dengan gosip.

Jadi, podcast mana pilihan anda?

* Syairah Abd Lajis ialah Penolong Ketua Bahagian Media Sosial