NEW YORK - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran terhadap 'troll' di internet dan teori konspirasi yang menjejaskan tindak balas terhadap koronavirus.
Ketua Pengarah agensi itu, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, maklumat yang salah menjadikan usaha dilakukan pihaknya menjadi semakin sukar.
"Saya juga mahu menyatakan tentang kepentingan fakta dan bukan untuk menyebarkan ketakutan. Orang ramai perlu mempunyai akses kepada maklumat yang tepat untuk melindungi diri mereka dan orang lain.
"Maklumat salah yang disebarkan tentang koronavirus tersebut telah mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan terhadap orang ramai. Di WHO, kami tidak hanya cuba memerangi virus itu, malah kami juga memerangi 'troll' dan teori konspirasi yang melemahkan usaha kami," tegasnya.
Beliau turut menggunakan contoh artikel diterbitkan The Guardian di ruangan pendapat hasil tulisan ahli epidemiologi, Adam Kucharski yang berpendapat cara terbaik untuk menangani penyebaran berita palsu tentang koronavirus tersebut adalah dengan 'memperlakukan ia seperti virus sebenar'.
Sejak beberapa minggu lalu, beberapa teori palsu tersebar ke seluruh dunia.
Sebagai contoh, Channel One di Rusia telah menayangkan teori konspirasi koronavirus ketika berita utama, Vreyma malah menerusi satu segmen pengacara turut mengaitkan virus itu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan mendakwa agensi risikan AS atau syarikat farmaseutikal sebagai dalang di sebalik penularannya.
Satu lagi teori konspirasi diterbitkan tabloid Amerika Syarikat dan Britain pula mengaitkan virus itu dengan video seorang wanita Cina memakan sup kelawar.
Laporan tersebut mendakwa klip itu dirakamkan di Wuhan yang merupakan pusat epidemik tersebut sedangkan rakaman tersebut diambil di Palau pada 2016.
Selain itu, kajian saintifik tidak sahih yang tersebar pada bulan lalu mengaitkan koronavirus dengan ular hingga membawa kepada tajuk utama global yang membincangkan tentang penyebaran wabak 'selesema ular'. - Agensi