Bawa 10kg alat bantuan oksigen sebagai ‘nyawa kedua’

Iklan
Nabil Fikri perlu bergantung kepada alat bantuan oksigen setiap hari.

SHAH ALAM - Seorang lelaki tidak menyangka penyakit pulmonary hypertension atau tekanan darah tinggi dalam paru-parunya terlalu kritikal sehingga terpaksa memakai alat bantuan oksigen setiap hari.

Menurut Nabil Fikri Abu Bakar, 27, dia juga tiada pilihan lain selain perlu memikul beban alat bantuan berkenaan seberat 10 kilogram (kg) itu.

Iklan
Iklan

"Saya membelanjakan hampir RM9,500 setahun. Setiap tong gas oksigen itu perlu diperbaharui setiap bulan dan menelan kos sebanyak RM630.

"Saya ada tiga tong gas untuk simpanan, ada yang beli dan dapat bantuan. Saya juga akui memang terbeban dan rimas kerana terpaksa bergantung.

Iklan

"Saya inginkan kehidupan lebih baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Nabil Fikri bersama doktor penyelia dan ahli keluarganya.

Pemuda dari Klang itu berkata, dia perlu memakai alat bantuan pernafasan selama 23 hingga 24 jam sehari tanpa henti.

Iklan

"Ini perkara yang sukar sebab saya nak hidup normal, termasuklah bekerja untuk sara keluarga dan berkahwin, sama seperti orang lain,” ujarnya.

Lebih menyedihkan, Nabil Fikri terpaksa berhenti kerja atas nasihat pakar kesihatan disebabkan keadaannya yang semakin parah.

Tambah Nabil Fikri, dia sedang menunggu giliran untuk mendapatkan paru-paru dari penderma melalui Institut Jantung Negara (IJN).

Katanya, keadaan kesihatan dia berada di tahap yang kritikal sekali gus membuatkan pembedahan paru-paru akan berlaku bila-bila sahaja.

"Doktor susun nama ikut kumpulan tahap kesihatan, sama ada kritikal atau tidak.

"Nama saya diletakkan dalam kumpulan kritikal kerana sudah di tahap yang tidak boleh bernafas tanpa bantuan oksigen.

"Tetapi pembedahan ini ada risiko seperti pendarahan paru-paru, jangkitan kuman dan paling teruk boleh meninggal dunia,” jelasnya.

Justeru dia berharap pembedahan itu dapat dilaksanakan segera dengan baik dan lancar.