GEORGE TOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengadakan lawatan kerja ke Mesir dan Turkiye bermula pada 1 hingga 8 November ini.
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataannya berkata, Kon Yeow akan menyertai Forum Bandar Dunia (WUF) ke-12 di Kaherah, Mesir selain melawat Istanbul, Turkiye.
Menurutnya, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari bersama delegasi dari Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan Think City akan mengiringi Kon Yeow.
"Kon Yeow akan mengambil bahagian dalam sesi ke-12 WUF di Kaherah, Mesir dan dijadualkan menyampaikan ucaptama dalam Mesyuarat Peringkat Tinggi ke-2 mengenai Pembiayaan Pembangunan Bandar Mampan.
"Mesyuarat ini akan menjadi asas kepada rangka kerja penubuhan Tabung Kelayakan UN Habitat untuk penerimaan dana, hab pengetahuan pembiayaan dan Rangka Kerja Tabung Kelayakan Kemudahan Pelaburan Bandar (CIF)," katanya pada Jumaat.
Tambahnya, sepanjang persidangan itu, Kon Yeow juga akan berkongsi pengalaman Pulau Pinang dalam membiayai projek-projek awam dengan pemimpin kerajaan, tokoh perniagaan dan pemimpin komuniti.
"Di samping itu, beliau dijangka bertemu dengan beberapa tokoh utama dalam UN Habitat, rakan strategik negeri dalam pelbagai inisiatif termasuk program Penyesuaian Iklim dan Penang Bay.
"WUF yang ditubuhkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2001 merupakan platform penting untuk membincangkan isu-isu urbanisasi pesat serta kesannya terhadap komuniti, bandar, ekonomi, perubahan iklim dan dasar-dasar.
"Antara peserta yang dijangka hadir termasuk wakil kerajaan Persekutuan, negeri dan tempatan, tokoh perniagaan, pemimpin komuniti, ahli akademik, perancang bandar serta wakil masyarakat sivil," katanya lagi.
Dalam pada itu, Kon Yeow juga akan melawat Istanbul, Turkiye untuk meneroka pengurusan warisan budaya, membincangkan pengangkutan awam dan pengurusan laluan air serta meneroka kerjasama berpotensi dalam bidang ekonomi kitaran.