KOTA BHARU - Seorang wanita memohon bantuan orang ramai untuk menjejak ibunya Norhayati Mohamed yang terpisah sejak 20 tahun lalu.
Nor Hazimah Abdullah, 23, berkata, semasa berusia tiga tahun dia telah diserahkan kepada sebuah keluarga angkat di Melaka.
"Sejak itu hubungan kami terpisah dan alamat terakhir ibu ialah di Sungai Ayer Hitam, Tanjong Minyak, Melaka.
"Saya terlalu ingin mengenali dan berjumpa ibu. Saya berusaha mendapatkan alamat terkininya dan ada pihak memberitahu dia kini berada di Geting, Tumpat," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurutnya yang kini menetap di Petaling Jaya, Selangor, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjejaki ibunya namun menemui jalan buntu.
Nor Hazimah yang bekerja sebagai pembantu klinik berkata, dia tidak mengetahui umur dan tidak memiliki foto ibunya.
Ujarnya, orang ramai yang mengenali ibunya diharap dapat menghubunginya di talian 013-6663937.