SHAH ALAM - Kes pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa buli dan dera menggunakan seterika perlu dibawa ke peringkat siasatan luar.
Bapa kepada Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros berkata, kes tersebut didakwa tidak akan menunjukkan sebarang perkembangan sekiranya ia diuruskan di peringkat dalaman.
"Pada saya isu itu tidak akan ke mana-mana pun. Ia kerana kalau dikendalikan di peringkat tersebut, paling teruk pun pengurusan akan ambil tindakan buang penuntut sahaja.
"Kalau ia tidak dibawa ke peringkat luar, isu ini akan jadi ibarat api dalam sekam. Maknanya isu ini didiamkan dahulu tetapi tiba-tiba terus jadi seperti isu anak saya.
"Akhirnya kes buli itu terus menjurus kepada kematian seseorang,” katanya ketika kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada 1 Jun 2017, negara digemparkan dengan kematian tragis pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman akibat dibuli, dipukul dan diseksa apabila hampir keseluruhan anggota badannya berulang kali ditekap menggunakan seterika wap.
Terbaharu, lagi kes membabitkan buli menggunakan seterika berlaku di universiti berkenaan apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan pada Selasa mengesahkan sedang menyiasat kejadian seorang pegawai kadet di ALK, UPNM, Sungai Besi yang dipercayai menjadi mangsa dera oleh seorang penuntut senior.
ATM turut mengesahkan kejadian itu melibatkan pelajar kadet yang dibuli oleh seniornya menggunakan seterika yang ditekap di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.
Ujar Zulkarnain, kerajaan juga perlu segera mewujudkan akta anti buli bagi menangani kes-kes penderaan yang berlaku dalam kalangan penuntut institusi.
"Dahulu kita ada akta kanak-kanak tetapi akta anti buli ini belum ada lagi. Saya fikir akta ini merupakan salah satu langkah yang terbaik,” ujarnya.
Mengulas mengenai tindakan buli yang dilakukan dengan menggunakan seterika itu, menurut Zulkarnain, dia akui terkejut dan kecewa apabila mendapati masih ada lagi yang cuba melakukan perbuatan yang sama seperti kes Allahyarham Zulfarhan Osman.
"Saya memang terkesan apabila melihat berita tersebut, saya ingat isu (buli menggunakan seterika) ini sudah tidak berlaku, rupanya ada lagi. Memang mengerikan,” menurutnya.