KUALA SELANGOR - Penduduk di Kampung Batu 7, Ijok resah berikutan perangkap sampah sungai yang dipasang di Sungai Buloh, Ijok di sini tidak diselenggara dengan baik.
Penduduk mendakwa, terdapat kira-kira 200 timbunan tan metrik sampah sarap dan sisa buangan hanyut di sungai terbabit.
Seorang penduduk, Ismail Ibrahim, 63, berkata, penduduk bimbang timbunan sampah itu mencemarkan kualiti air di sungai terbabit.
"Sampah hanyut yang terpengkap di sungai ini bukanlah isu baharu bahkan sudah berlarutan sejak 10 tahun lalu.
"Keadaan bertambah buruk ketika hujan apabila lebih banyak sampah sarap dari Sungai Gombak mengalir dan menghanyutkan sampah ke sungai ini," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Menurut Ismail, perangkap sampah itu sepatutnya diselenggara dengan lebih sistematik bagi mengelakkan sampah terus dihanyutkan ke laut.
Seorang lagi penduduk, Mohd Razak Md Basir, 38, berkata, timbunan sampah di kawasan perangkap sampah sungai menyebabkan aliran air sungai tidak lancar yang boleh menjadi punca kepada kejadian ban pecah.
"Sungai ini menjadi tempat longgokan sampah tersangkut menyebabkan aliran air sungai tidak dapat bergerak.
"Kita tidak mahu perangkap sampah menjadi penghalang kepada aliran air dan keadaan ini amat meresahkan penduduk jika berlaku hujan menyebabkan air melimpah dan naik ke atas menyebabkan risiko banjir di kawasan rendah," katanya.
Katanya, terdapat banyak bungkusan makanan dan minuman, botol plastik, aluminium, tin dan barangan getah di sungai terbabit.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Ijok, Mohamad Afandy Mohd Dahlan berkata, isu perangkap sungai itu perlu ditangani segera pihak berwajib.
Beliau menegaskan, perangkap sungai itu perlu berfungsi bagi meningkatkan tahap kebersihan air sungai, mengelakkan punca wabak penyakit dan mengurangkan penggunaan tenaga manusia untuk memastikan kebersihan sungai dan saliran terus terjamin.
"Kita berharap agensi berkaitan dapat menjaga kebersihan sungai supaya tidak tercemar selain mengelakkan kejadian banjir di kawasan rendah akibat sampah terpengkap," tambahnya.