KUALA TERENGGANU - Kira-kira 40 peniaga di Pasar Kedai Payang 2 di sini membantah binaan dua lot perniagaan baharu dalam premis tersebut kerana ia dilihat tidak bersesuaian dan mengganggu laluan pelanggan.
Seorang peniaga, Mokhtar Jusoh, 64, berkata, binaan tambahan dua lot perniagaan itu telah bermula sejak empat hari lalu.
Menurutnya, keputusan untuk menambah binaan baharu di kawasan itu didakwa tidak pernah dikemukakan atau dibincangkan bersama peniaga di situ, sebelum ini.
"Keputusan untuk buat binaan dua lot kedai makan ini tidak pernah dibincangkan bersama peniaga. Kami dapat tahu pun selepas kerja-kerja pembinaan dilakukan.
"Apa yang kami nampak ialah binaan itu akan menyebabkan lokasi perniagaan barangan basah seperti ikan, ayam dan daging semakin terlindung dan tertutup. Mengapa perlu bina lagi lot kedai makan sedangkan lokasi jualan itu sudah ada.
"Selain itu, ia juga menyebabkan kesukaran pelanggan untuk ke lokasi perniagaan kami di sini memandangkan laluan untuk mereka ke sini menjadi sempit," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.
Sementara itu, peniaga ayam, Mohamad Hafiza Abdul Ghani, 41, berkata, mereka tidak dimaklumkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkenaan binaan tersebut.
Katanya, perjumpaan yang diadakan bersama peniaga sebelum ini hanya membincangkan berkenaan Kompleks baharu Pasar Kedai Payang 1.
"Bagaimanapun, dengan adanya binaan baharu ini ia menyebabkan kesukaran kepada pelanggan untuk ke sini.
"Jadi, kami mahu sebarang perkara melibatkan peniaga di sini turut dimaklumkan awal dan suara kami didengari kerana kita sama-sama menggunakan bangunan ini untuk mencari rezeki,"ujarnya.
Seorang lagi peniaga, Hasbullah Ismat Adnan, 30, berkata, dia memohon agar pihak berkuasa tempatan (PBT) mempertimbangkan semula pembinaan lot perniagaan itu bagi memberi keselesaan kepada pengunjung dan peniaga.
"Kalau boleh, kita harap agar binaan ini dapat dirobohkan semula kerana ia tidak bersesuaian dan akan menghalang laluan orang ramai untuk ke tempat jualan barangan basah.
"Lagipun, kedudukan bagi tempat jualan barangan basah seperti ayam, daging dan ikan terletak agak berjauhan dengan sayur-sayuran dan keperluan dapur, bukan bersebelahan.
"Adalah lebih elok sekiranya pihak MBKT memikirkan untuk mewujudkan lokasi perniagaan strategik bagi peniaga di sini berbanding hanya mendengar pendapat sebelah pihak," ujarnya.
Sebelum ini pada Rabu tular video berdurasi 39 saat menerusi media sosial memaparkan sekumpulan 40 peniaga membuat bantahan terhadap binaan baharu dua lot perniagaan yang didakwa untuk dijadikan kedai makan.