Kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak meningkat

Iklan
Bilangan kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada PDRM meningkat 26.5 peratus pada tahun lalu. Foto hiasan 123RF

PUTRAJAYA - Bilangan kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkat 26.5 peratus pada tahun lalu.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu menyaksikan 1,567 kes direkodkan pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya, 1,239 kes.

Iklan
Iklan

"Kesalahan amang seksual secara bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak masing-masing merekodkan 91 kes dan 67 kes pada tahun sama," katanya dalam kenyataan Statistik Kanak-kanak Malaysia pada Jumaat.

Ujar beliau, berdasarkan statistik anggaran penduduk 2024, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun adalah berjumlah 9.14 juta, iaitu 26.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, 34.06 juta.

Iklan

Menurutnya, bilangan kanak-kanak lelaki adalah 4.72 juta manakala 4.42 juta bagi kanak-kanak perempuan.

"Komposisi kanak-kanak di bawah umur 5 tahun pada 2024 ialah 2.36 juta atau 6.9 peratus daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia.

Iklan

"Bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur lima tahun masing-masing ialah 1.22 juta dan 1.14 juta," kata Uzir.

Daripada perspektif perlindungan kanak-kanak, beliau berkata, bilangan yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 2023 meningkat 26.1 peratus kepada 8,536 orang berbanding 6,770 kanak-kanak pada 2022.

"Bilangan kanak-kanak perempuan mencatatkan lebih ramai yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan iaitu 5,418 kanak-kanak berbanding kanak-kanak lelaki, 3,118 orang," jelasnya.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak lelaki yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan mencatatkan peningkatan lebih tinggi iaitu 26.4 peratus berbanding 25.9 peratus kanak-kanak perempuan dalam pada tempoh sama.

Melihat kepada aspek pendidikan, Mohd Uzir berkata, bilangan murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan pada 2023 meningkat 4.6 peratus daripada 4,962,900 murid pada tahun 2022 kepada 5,192,600 murid.

"Bilangan murid di sekolah swasta turut merekodkan peningkatan 3.6 peratus kepada 442,900 murid daripada 427,600 murid pada 2022," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai aspek tahap kesihatan, DOSM mendapati 'certain conditions originating in the perinatal period' kekal menjadi sebab kematian utama bagi kanak-kanak kurang daripada lima tahun pada 2023 dengan 36.4 peratus.

Ia diikuti congenital malformations, deformations and chromosomal abnormalities (27.5 peratus), pneumonia (2.6 peratus), transport accidents (1.5 peratus) dan meningitis (0.7 peratus).