TANAH MERAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 8,534 kilogram (kg) minyak masak peket ke Thailand selepas menahan sebuah lori dan dua buah kereta di Kampung Bukit Payong, Kelewek, di sini pada Khamis.
Serbuan jam 11.45 pagi itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Kelantan Cawangan Pasir Mas dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, bertindak atas maklumat risikan pihaknya telah mengesan sebuah lori jenis Isuzu disyaki membawa minyak masak bersubsidi dari luar Kelantan untuk diseleweng ke negara jiran.
"Anggota bertugas bersama PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor telah mengekori lori terbabit sehingga ke Kampung Bukit Payong.
"Hasil pemerhatian yang dilakukan mendapati minyak masak itu kemudian dipindahkan ke dalam dua buah kereta jenis Proton Waja," katanya pada Jumaat.
Menurut beliau, semasa serbuan dilakukan dua pemandu kereta Proton Waja telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Ujarnya, bagaimanapun pemandu lori tersebut berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.
Azman memberitahu, pemeriksaan ke atas lori dan dua buah kereta itu membawa kepada penemuan minyak masak yang bernilai RM21,335.
"Hasil soal siasat awal mendapati suspek mengaku menerima upah sebanyak RM1,000 untuk setiap penghantaran minyak masak bersubsidi terbabit.
"Berhubung rampasan ini, KPDN Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut ke atas syarikat pembungkusan minyak masak dari Negeri Sembilan dan Johor," katanya.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan ialah RM61,335.
Ujar Azman, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
"KPDN Kelantan akan terus berkolaborasi dengan pasukan atau agensi penguatkuasaan sempadan dalam memperketatkan pemantauan dan usaha membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di sempadan.
"Amaran keras kepada individu yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan untuk menghentikan tindakan tersebut segera, dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi," katanya.